Jumaat, 11 September 2015 – YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Hj.Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) telah menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua negara-negara ASEAN dan negara-negara lain yang terlibat dalam perhimpunan tersebut semasa Majlis Penutup Perhimpunan AIPA ke – 36 yang telah diadakan pada jam 10 pagi tadi di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Setiausaha Agung AIPA, En.P.O. Ram dan ketua-ketua delegasi dari negara-negara yang terlibat.
Presiden AIPA ke - 36 merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama Setiausaha Agung AIPA dan ahli-ahli Dewan Negara dan Rakyat yang menghadiri Majlis Penutup Perhimpunan Agung AIPA
Sebanyak 25 resolusi penting menyentuh isu pembangunan negara-negara ASEAN terutamanya dalam bidang politik,ekonomi, social dan organisasi telah dibincangkan sepanjang 5 hari perhimpunan tersebut berlangsung. Selain itu, isu berkaitan wanita dan kesaksamaan gender turut diberi perhatian.
Dalam ucapannya, Presiden AIPA telah mengumumkan bahawa negara Myanmar tidak dapat menjadi tuan rumah untuk Perhimpunan AIPA pada tahun hadapan kerana negara tersebut bakal mengadakan pilihan raya umum dan beliau berharap sebelum bulan September 2016, tuan rumah untuk Perhimpunan AIPA ke – 37 dapat dikenalpasti.