Rabu, 30 September 2015 – Dr.Andrew Southcott, Ahli Parlimen Australia dan delegasinya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan YB Tan Sri Abu Zahar Ujang, Yang di-Pertua Dewan Negara di dua lokasi yang berlainan.
Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dr.Andrew Southcott merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama delegasi Australia dan Ahli-ahli Dewan Negara.
Kunjungan hormat ke atas YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat oleh Dr.Andrew Southcott telah diadakan di Bilik Kunjungan Hormat, Parlimen Malaysia bermula pada jam 10.15 pagi. Turut hadir ialah YB Tuan Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang, YBrs. Tuan Awang Alik Jeman, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia dan YBhg. Datuk Roosme Hamzah, Setiausaha Dewan Rakyat. Dalam pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, kedua-dua pemimpin berkesempatan untuk berbincang tentang prosedur dan cara Parlimen masing-masing bersidang dan “Prime Minister Question Time” yang dilaksanakan di Parlimen Australia telah menarik minat Parlimen Malaysia untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kaedah pelaksanaannya. Selain itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut menerima jemputan untuk mengadakan kunjungan balas ke Parlimen Australia.
Kunjungan hormat ke atas YB Tan Sri Abu Zahar Ujang, Yang di-Pertua Dewan Negara oleh delegasi Australia telah diadakan di Seraya Room, Seri Pacific Hotel bermula pada jam 11 pagi. Turut hadir ialah beberapa orang Ahli-ahli Dewan Negara antaranya ialah YB Senator Tan Sri Dato' Haji Abdul Rahim Abdul Rahman, YB Senator Datuk Seri Nallakaruppan, YB Senator Datuk Seri Haji Abdul Halim Abd. Samad, YB Senator Tuan Haji Abdul Shukor P A Mohd Sultan, YB Senator Dato’ Jaspal Singh dan YB Senator Datuk Haji Megat Zulkarnain.
Kunjungan hormat ini sangat penting kerana ia dapat meningkatkan hubungan diplomatik juga dapat bertukar-tukar pandangan dalam hal-hal persidangan Parlimen bagi kedua-dua negara.