SHAH ALAM, 13 Mei – Penganjuran Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Negara 2017 disifatkan sebagai ‘Sirih Pulang ke Gagang’ kata, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor berkenan berucap merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia 2017.
Beliau berkata, pemilihan Selangor sebagai tuan rumah mengimbau kembali kepada penganjuran Persidangan Speaker-Speaker Persekutuan Tanah Melayu kali pertama yang diadakan di Bangunan Dewan Negeri Selangor, 16 Mac 1962.
“Pemilihan Dewan Undangan Negeri Selangor kembali selaku tuan rumah bagi persidangan kali ini adalah sangat signifikan selepas 55 tahun ia pernah berlangsung di Selangor dulu.
“‘Justeru, saya bersyukur kerana persidangan ini diteruskan lagi dalam usaha mengeratkan hubungan di antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Keberkesanannya, ia mampu menjadikan tugas Speaker dapat diperkasakan dalam memartabatkan amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan negara kekal terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian di Hotel Concorde, di sini, pagi ini.
Dalam perkembangan itu, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmian dengan disaksikan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor; YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia, Yang di-Pertua Dewan Rakyat; YB Senator Dato' Sri SA. Vigneswaran, Yang di-Pertua Dewan Negara dan YB Hannah Yeoh, Speaker Dewan Negeri Selangor.
Dewan Negeri Selangor menjadi tuan rumah bagi persidangan tahun ini yang disertai delegasi Speaker dan Timbalan Speaker, masing-masing mewakili Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia.
Persidangan dilaksanakan sebagai wahana perkongsian ilmu selain menjadi platform untuk melaksanakan proses semak dan imbang dalam pengurusan pentadbiran.
Ia juga dilaksanakan bagi memperkukuh peranan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi menerajui pengukuhan demokrasi negara.