Selasa, 21 Mei 2013 - Satu Mesyuarat Khas Di Bawah Peraturan 10(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara telah diadakan di Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia dan YB Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang telah dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara bagi penggal kedua. Upacara pelantikan tersebut telah diadakan di hadapan YB Senator Datuk Doris Sophia Brodi, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.
Pada 26 April 2010, YB Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-16 menggantikan YB Datuk Wong Foon Meng yang tamat perkhidmatan pada 12 April 2010.
Beliau telah memulakan kariernya pada 1964 sebagai Inspektor Polis Diraja Malaysia dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Penguasa Polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.Pada 1980 hingga Jun 1986, YB Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang telah meneruskan profesion guaman di ibu negara sebelum dipilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan Pilah dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan. Pada 1991, beliau mempertahan kerusi DUN berkenaan sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999.