SEMINAR POTENSI AIR BAWAH TANAH:
ALTERNATIF PENGURUSAN SUMBER AIR DI MALAYSIA
- KUALA LUMPUR, 17 Jun—-Parlimen Malaysia dengan kerjasama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menganjurkan Seminar Potensi Air Bawah Tanah pada hari ini di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia.
- Seminar ini diadakan bagi mengetengahkan air bawah tanah sebagai sumber alternatif dalam memastikan kelangsungan bekalan air negara, khususnya dalam konteks perubahan iklim, pertumbuhan penduduk dan tekanan terhadap sumber air permukaan.
- Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan Parlimen dalam memperkasa dasar pengurusan sumber air secara mampan melalui usahasama rentas agensi teknikal dan penyelidikan.
- Turut hadir ialah YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air; YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Mohamed@ Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; para Speaker Dewan Undangan Negeri; Ahli Parlimen; Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, YBhg. Dato’ Ahmad Husaini bin Abdul Rahman; dan Setiausaha Dewan Rakyat, YBrs. Dr Nizam Mydin bin Bacha Mydin.
- Seminar ini turut menampilkan empat sesi pembentangan teknikal daripada pakar tempatan dan antarabangsa:
-
- Sesi 1: Japan Experiences in Sustainable Groundwater Development oleh Dr. Kotaro Takemura, Japan Water Forum;
- Sesi 2: Transformasi Industri Sumber Air Bawah Tanah di Malaysia oleh Dato’ Ir. Mohd Zaki bin Mat Amin, NAHRIM;
- Sesi 3: Perkembangan Teknologi Eksplorasi Sumber Air Bawah Tanah oleh Datuk Zamri bin Ramli, JMG; dan
- Sesi 4: Penggunaan Teknologi Angkasa bagi Pemetaan Sumber Air Bawah Tanah oleh Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, MYSA.
- Secara keseluruhan, seminar ini telah berjaya meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh pemahaman terhadap teknologi moden, serta merapatkan kerjasama antara Parlimen, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan industri.
- Penganjuran ini mencerminkan komitmen Parlimen Malaysia dalam meneroka penyelesaian inovatif demi pengurusan sumber air negara yang lebih lestari dan berdaya tahan.
PARLIMEN MALAYSIA
17 JUN 2025