![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
KENYATAAN MEDIA
PENYATA JAWATANKUASA PILIHAN KESIHATAN PENGGUNAAN VAPE DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA
OLEH
YANG BERHORMAT TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KESIHATAN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15
Jawatankuasa Pilihan Kesihatan telah membentangkan Penyata Jawatankuasa Kesihatan berhubung Penggunaan Vape Dalam Kalangan Rakyat Malaysia di Dewan Rakyat. Penyata ini merupakan hasil daripada siri libat urus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan pakar-pakar rujuk bagi meneliti isu penggunaan rokok elektronik termasuk vape yang kini semakin membimbangkan.
Jawatankuasa ini menegaskan bahawa penggunaan vape telah berkembang menjadi satu krisis kesihatan awam yang serius. Produk ini bukan sahaja mengandungi nikotin berkepekatan tinggi, malah turut dikesan mengandungi logam toksik seperti plumbum, kromium dan nikel yang memberi risiko besar kepada kesihatan pengguna. Kesan buruk vape merangkumi peningkatan risiko penyakit kronik seperti kanser paru-paru, penyakit kardiovaskular, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) serta komplikasi kehamilan, manakala kos rawatan akibat masalah kesihatan yang berpunca daripada vape dijangka mencecah ratusan juta ringgit setahun menjelang 2030.
Trend semasa menunjukkan penggunaan vape semakin meluas, melibatkan lebih 1.4 juta orang dewasa dan ratusan ribu pelajar sekolah. Walaupun KPM telah
melaksanakan pelbagai dasar larangan di sekolah dan KKM telah menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852], cabaran baharu terus timbul akibat promosi agresif industri, pengaruh media sosial, penjualan atas talian serta evolusi peranti jenis open system yang mudah dimanipulasikan. Situasi ini menunjukkan bahawa langkah penguatkuasaan sedia ada masih perlu diperkukuh dengan pendekatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa mengesyorkan agar kempen kesedaran awam dipertingkatkan dengan mesej yang jelas tentang bahaya kandungan toksik dalam vape serta pelabelan yang tegas sebagai racun. Strategi komunikasi yang lebih agresif perlu dilaksanakan melalui media sosial, penglibatan pempengaruh serta pemasangan papan tanda larangan di lokasi strategik, khususnya bagi mendidik golongan remaja. Selain itu, Jawatankuasa juga menekankan kepentingan melaksanakan langkah pencegahan awal yang komprehensif bagi melindungi kanak- kanak dan remaja daripada ketagihan yang sukar dihentikan.
Selain itu, pengumpulan data saintifik dan klinikal yang sistematik amat penting sebagai asas kepada tindakan larangan di peringkat nasional. Kerajaan turut digesa mempertimbangkan had dan bentuk penggunaan peranti yang lebih terkawal, termasuk hanya membenarkan penggunaan vape jenis pakai buang sebagai langkah interim. Pewartaan undang-undang baharu yang lebih jelas juga diperlukan bagi menutup kekosongan kawal selia yang membolehkan penjualan vape terus berleluasa tanpa kawalan ketat. Dalam jangka panjang, Jawatankuasa berpandangan bahawa larangan menyeluruh terhadap penggunaan vape adalah langkah paling tepat dan berkesan demi melindungi kesihatan awam negara.
Jawatankuasa ingin menegaskan bahawa kepentingan kesihatan rakyat mestilah mengatasi kepentingan komersial. Penyata ini diangkat sebagai asas tindakan nasional untuk memastikan seluruh generasi muda Malaysia dilindungi daripada ancaman vape, di samping mengukuhkan kestabilan sistem kesihatan negara pada masa hadapan.
27 OGOS 2025
Kemaskini terakhir pada: 28 Ogos 2025 | Hits: 1118
www.parlimen.gov.my