![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
KENYATAAN MEDIA
KENYATAAN MEDIA
PENYATA BULI DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH DI MALAYSIA DR. 26 TAHUN 2025
JAWATANKUASA PILIHAN WANITA, KANAK-KANAK DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15
KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2025- Jawatankuasa Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat telah membentangkan satu penyata di Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2025 berkenaan Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Malaysia (DR. 26 Tahun 2025). Penyata ini dihasilkan melalui libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, dan Childline Foundation. Jawatankuasa juga telah menganjurkan satu taklimat khas berkenaan isu buli kepada semua Ahli Dewan Rakyat, pada 20 Ogos 2025 bagi memberi pendedahan kepada ahli-ahi parlimen mengenai definisi, bentuk-bentuk serta kesan buli terhadap mangsa, pelaku, dan komuniti sekolah dan status kes buli di Malaysia.
Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia telah wujud sejak November 2023, namun tidak dilaksanakan sepenuhnya sehingga menyebabkan kes buli tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Data dari Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), KPM, sehingga Oktober 2024, seramai 5,703 pelajar terlibat dalam kes buli, berbanding 5,891 pada tahun 2023 dan 3,887 pada tahun 2022. Peningkatan ini menggambarkan keperluan mendesak untuk intervensi yang lebih berkesan.
Laporan UNICEF pada tahun 2020 mengenai buli dalam kalangan kanak- kanak, mendapati Malaysia menduduki tempat kedua di Asia selepas India dan tempat keenam dalam dunia untuk siber buli. Laporan menunjukkan 3 daripada 10 kanak-kanak terjejas. Melalui U-Report, UNICEF melaporkan 28 peratus daripada 7,000 kanak-kanak mengalami siber buli, manakala dalam kajian IPSOS 2018, mendapati 23 peratus ibu bapa melaporkan anak-anak mereka dibuli.
Jawatankuasa telah mengenal pasti beberapa jurang utama dalam sistem aduan di Malaysia, iaitu ketiadaan talian aduan khas yang mesra kanak-kanak serta keperluan kotak aduan buli di sekolah berasrama. Talian khas kanak- kanak seperti Child Helpline yang berkesan sebelum ini tidak lagi diwujudkan. Selain itu, tiada jaminan penuh terhadap kerahsiaan maklumat peribadi murid yang terlibat dalam kes buli.
Latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) belum mewajibkan modul berkaitan dasar perlindungan kanak-kanak dan garis panduan buli. Sistem sokongan rakan sebaya (peer-to-peer) perlu diperkasa bagi menangani isu buli. Pelantikan warden asrama masih melibatkan guru, tanpa saringan ketat dan latihan khusus perlindungan kanak-kanak.
Sehubungan itu, Jawatankuasa telah mengemukakan 17 syor untuk dilaksanakan berhubung isu ini kepada pihak Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan (KPM), antaranya ialah:
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM membuat hebahan segera secara meluas berkenaan salah laku buli dan tindakan yang perlu diambil kepada semua guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat di Malaysia dalam tempoh masa tiga bulan terdekat.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM mewujudkan satu talian aduan buli khas dengan ciri-ciri yang mesra kanak-kanak, seperti fungsi chat, bahasa yang mudah serta disuai padan dengan usia dan keupayaan kanak-kanak dan sebagainya. Manakala, bagi sekolah berasrama, kotak aduan buli wajib diwujudkan.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM perlu mewajibkan pihak sekolah menyediakan pilihan untuk kanak-kanak membuat aduan secara anonim.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memastikan maklumat peribadi setiap kanak-kanak terlibat dalam kes buli perlu dijaga kerahsiaan.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memastikan pengadu kes buli dilindungi daripada tindak balas negatif daripada pelbagai pihak.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memastikan setiap sekolah mewujudkan Jawatankuasa Khas Anti Buli yang terdiri daripada individu yang mempunyai kelayakan dan berpengalaman seperti bekas guru, wakil PIBG, wakil Ibu Pejabat Polis Daerah, wakil Pegawai Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain yang berfungsi untuk memastikan semua KPI yang dinyatakan dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM yang sedia ada (seperti Lampiran I) dicapai. Suara perwakilan pelajar perlu diberi ruang dan diambil kira oleh Jawatankuasa.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM membuat penambahbaikan dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM bagi membezakan garis panduan di antara sekolah asrama dan sekolah harian, serta peruntukan khas untuk pelajar kurang upaya.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM mewajibkan setiap sekolah dan asrama melaksanakan Polisi Perlindungan Kanak-kanak untuk ditandatangani oleh semua pihak termasuk guru, warden, PIBG dan ibu bapa. Polisi ini mengandungi klausa anti-buli, prosedur pelaporan yang jelas dan mekanisme perlindungan mangsa.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM menjadikan PIBG sebagai pihak pemantau dalam pelaksanaan polisi perlindungan kanak-kanak bagi memastikan keselamatan serta hak-hak murid di sekolah sentiasa terjamin.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM mewajibkan dasar perlindungan kanak-kanak dan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM dijadikan sebagai modul wajib dalam latihan guru di IPG.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memastikan penglibatan kanak-kanak secara langsung dalam perangkaan polisi anti-buli kerana langkah ini dapat meningkatkan pematuhan dan mengiktiraf peranan mereka sebagai pemegang hak dalam mencari penyelesaian.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memperkenalkan modul Bengkel Empati dalam kalangan pelajar berasaskan amalan antarabangsa bagi mengukuhkan pembinaan sahsiah dan karakter pelajar.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memperkasa sistem sokongan rakan sebaya (peer-to-peer) bagi memberi impak positif.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM menambah bilangan guru kaunseling terlatih di sekolah mengikut nisbah yang munasabah.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM membuat pelantikan warden dari kalangan bekas anggota tentera dan polis di sekolah berasrama dan bukannya guru sebagai warden. Pelantikan ini tertakluk kepada saringan ketat di bawah Seksyen 118, Akta 611 dan perlu menjalani kursus dan latihan perlindungan kanak-kanak yang bersesuaian. Calon perlu menjalani ujian psikologi TAJMA bagi memastikan kesesuaian bekerja dengan kanak-kanak.
Jawatankuasa berpandangan bahawa pelan susun atur bangunan sekolah berpotensi mengundang buli. Justeru, Jawatankuasa mengesyorkan supaya KKR dengan kerjasama KPM melaksanakan kajian semula reka bentuk sekolah bagi memastikan persekitaran lebih selamat dengan pemantauan strategik dan pemasangan sistem CCTV.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPWKM mewujudkan semula talian khas untuk kanak-kanak seperti Child Helpline yang sebelum ini berjaya. Bagi kes buli di sekolah, laporan perlu disalurkan kepada pihak sekolah untuk tindakan seperti yang termaktub dalam Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan KPM.
Secara keseluruhan, Jawatankuasa mendapati budaya buli ini telah menjadi krisis yang serius dalam negara. Budaya buli kini menular dari peringkat persekolahan ke institusi pengajian tinggi sehingga ke dunia pekerjaan. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu mengambil tindakan bersepadu secara serius merentasi semua kementerian, jabatan dan agensi bagi memerangi budaya buli. Jawatankuasa akan terus memantau pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan oleh Kerajaan secara berkala.
Kemaskini terakhir pada: 28 Ogos 2025 | Hits: 2124
www.parlimen.gov.my