Kenyataan Media Buli Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Di Malaysia Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak Dan Pembangunan Masyarakat Dewan Rakyat Parlimen Ke-15
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

       KENYATAAN MEDIA  

 

BULI DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH DI MALAYSIA

JAWATANKUASA PILIHAN WANITA, KANAK-KANAK DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15

 

 

KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2025 – Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen Malaysia telah menganjurkan satu sesi taklimat khas yang dihadiri oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi membincangkan isu buli dalam kalangan pelajar yang kini semakin membimbangkan. Jawatankuasa berpandangan bahawa isu ini perlu dijadikan agenda nasional yang memerlukan perhatian segera dan serius daripada semua pihak.

Taklimat tersebut memberi pendedahan kepada Ahli Parlimen mengenai definisi dan bentuk buli serta kesannya terhadap mangsa, pelaku, dan komuniti sekolah. Ia turut membentangkan status semasa kes buli di Malaysia, di samping berkongsi strategi serta kemahiran untuk mencegah buli, termasuk kaedah mengesan tanda-tanda awal, mengurus konflik secara positif, serta membina persekitaran sekolah yang lebih selamat.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh pertubuhan bukan kerajaan iaitu Childline Foundation dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Penganjuran ini juga mengambil kira sentimen masyarakat berikutan beberapa insiden buli yang tular di media sosial dan mendapat liputan meluas baru-baru ini, yang sekali lagi membuka mata orang ramai tentang keseriusan gejala ini. Kes-kes tersebut bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada mangsa dan keluarga, malah menimbulkan kebimbangan awam terhadap keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah.

Hasil daripada sesi libat urus yang telah dijalankan, Jawatankuasa mendapati terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh intervensi awal serta mempertingkatkan mekanisme sokongan bagi menangani isu buli secara menyeluruh.

Jawatankuasa yakin bahawa dengan komitmen Ahli-ahli Parlimen serta kerjasama erat pelbagai kementerian, agensi, pertubuhan masyarakat sivil, dan ibu bapa, usaha membanteras gejala buli akan dapat diperkasakan. Langkah ini amat penting bagi memastikan persekitaran sekolah di Malaysia menjadi lebih selamat, kondusif, serta mampu melahirkan generasi muda yang berakhlak, seimbang dan berdaya saing.

 

 


Kemaskini terakhir pada: 21 Ogos 2025 | Hits: 1139

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 04/12/2025.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2025 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.019 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my