background
btn w3c space
btn pdf btn_flash space
btn_rectblue btn_rectgreen btn_rectred space btn_txtsizenormal btn_txtsizesmaller btn_txtsizebigger close
 spacer Bahasa Malaysia | English  spacer Selasa, 28 Mac 2017 12:39 PM  spacer
logo
Bangunan Parlimen Malaysia - Sejarah Awal

Persidangan Pertama Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada 11 September 1959 di Dewan Tunku Abdul Rahman merupakan sejarah penting tanah air kerana buat julung kalinya Parlimen Persekutuan telah bersidang dengan ahli-ahlinya.  Persidangan Parlimen tersebut telah dirasmikan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad.

Persidangan Parlimen 11 September 1959.


Dewan persidangan tersebut, sekarang ini dikenali sebagai Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).  Dewan ini terletak di Jalan Ampang dan dibina pada tahun 1935. Pada asalnya dewan ini merupakan Kediaman En. Eu Tong Sen, seorang pelombong dan pengusaha ladang getah yang kaya dan terkenal di Kuala Lumpur.  Ia telah diubahsuai dan ditokok tambah oleh tukang-tukang atau “master builders” yang diupah khas untuk menjadikan kediaman tersebut sebagai dewan persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

SEJARAH PEMBINAAN BANGUNAN PARLIMEN MALAYSIA

Pada 16 September 1963, Persidangan Pertama Parlimen Malaysia telah diadakan di Bangunan Parlimen Malaysia yang terletak di kawasan Taman Tasik Perdana, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kawasan berbukit seluas 16.2 hektar yang dahulunya dikenali sebagai 'West Folly Hill' sedang diratakan bagi kerja-kerja awal pembinaan Kompleks Bangunan Parlimen 1961.


Pembinaan bangunan ini dibuat apabila tercetusnya idea dan pandangan dari Perdana Menteri Malaysia Pertama iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk mendirikan sebuah bangunan khusus sebagai Bangunan Parlimen Malaysia.

Ekoran daripada itu, pada tahun 1959, satu kawasan yang berkeluasan 16.2 hektar berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tapak yang sesuai bagi pembinaan bangunan tersebut.  Kawasan tersebut dipilih kerana lokasinya yang strategik iaitu terletak di atas sebuah bukit dan berhampiran dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Bangunan Parlimen dalam pembinaan.

 
Pada 31 Ogos 1962, SPB Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail  telah berkenan untuk meletakkan batu asas bagi membina Bangunan Parlimen Malaysia di kawasan tersebut. Kerja-kerja pembinaan mula dilaksanakan setelah upacara meletakkan batu asas.  Kemuncak bukit mula diratakan pada paras 61 meter dari aras laut pada  bulan September 1962.  Kerja-kerja pembinaan Bangunan Parlimen yang terdiri dari satu blok tiga tingkat dan satu blok menara 17 tingkat telah mengambil masa hampir setahun. Manakala bagi melengkapkan sistem infra ke Bangunan Parlimen Malaysia, satu jambatan telah dibina untuk menghubungkan Bukit Parlimen dengan Pusat Bandaraya.

Upacara peletakan batu asas pembinaan Kompleks Parlimen. Kapsul masa yang dibentuk khas dengan permukaanya diperbuat daripada batu marmar, seberat 385kg (850 lb) bersaiz dua kaki lebar dan lima kaki tinggi, mengandungi salinan penyata rasmi perbahasan pertama Dewan Rakyat 1958, akhbar, sedikit mata wang Malaysia dan sedikit bijih timah, getah dan padi sebagai simbol.


Pada masa itu, kos keseluruhan pembinaan Bangunan Parlimen adalah sebanyak RM 18 juta.  Bangunan Parlimen ini  telah dirasmikan oleh SPB Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 2 November 1963.
 
Bangunan Parlimen mempunyai tiga blok iaitu Blok Utama, Blok Menara dan Dewan Serbaguna. Berikut adalah penerangan ringkas mengenai ketiga-tiga blok tersebut. Berikut adalah penerangan ringkas mengenai ketiga-tiga blok tersebut; 

1.   Blok Utama

Blok Utama mempunyai tiga tingkat yang bersaiz 380 kaki X 290 kaki. Blok ini mempunyai rekabentuk yang amat unik di mana bumbungnya terdapat bentuk sebelas segitiga yang tersusun dan dikenali sebagai Pinnacle dan di bawah bumbung tersebut terletaknya Dewan Rakyat.  Keseluruhan blok tersebut mempunyai fasad yang mempunyai rekabentuk kulit nenas yang diperbuat daripada terazo berukuran 11 kaki tinggi dan 40 inci lebar serta berfungsi sebagai kawalan terhadap sinaran matahari kepada blok tersebut. Manakala keseluruhan dinding di Blok Utama menggunakan panel kaca.


Blok Utama sekarang.

 

2.   Blok Menara

Blok Menara terdiri daripada 17 tingkat, berketinggian 76.2 meter dan bersaiz 450 meter persegi setiap aras.  Blok Menara dan Blok Utama dihubungkan dengan dua jambatan sepanjang 50 meter. Pada asalnya, Blok Menara menempatkan pejabat para menteri dan Ahli-ahli Parlimen.  Namun, apabila bilangan kakitangan Parlimen bertambah, Blok Menara telah diubah fungsi menjadi pejabat pentadbiran Parlimen.  Walau bagaimanapun, beberapa ruang pejabat masih dikekalkan seperti Pejabat Perdana Menteri di tingkat 2, Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Tingkat 3, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen) di Tingkat 15, dan Pejabat Ketua Pembangkang di Tingkat 14.

Tingkat 17, merupakan tingkat yang teratas, terdapat ruang terbuka yang seringkali digunakan untuk majlis-majlis jamuan. Ruang ini juga dikenali sebagai Anjung Parlimen.  Pemandangan dari Tingkat 17 amat menarik, berlatar belakangkan permandangan bangunan-bangunan pencakar langit dan panorama Ibu Kota Kuala Lumpur.


Blok Menara sekarang.

 

3.   Dewan Serbaguna

Bangunan Parlimen juga turut dilengkapi dengan kemudahan beriadah seperti gelanggang tenis, badminton, futsal, bola tampar, gimnasium, bilik sauna untuk kemudahan Ahli-ahli Parlimen dan Kakitangan.


Dewan Serbaguna (Sebelum Diubahsuai).


Keistimewaan Bangunan Parlimen

Bangunan Parlimen Malaysia dibina dengan menggunakan lebih dari 1 juta batu bata, 2,200 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 300 tan kaca. Rekabentuk Bangunan Parlimen ditambah lagi serinya dengan rekabentuk lanskap yang dilengkapi dengan sistem kolam dan air pancuran di Blok Utama dan Blok Menara.  

Selain daripada itu, Bangunan Parlimen juga mempunyai sebuah Dewan Bankuet yang boleh menempatkan 500 orang tetamu pada satu-satu masa. Dewan Bankuet ini juga digunakan buat pertama kalinya untuk Majlis Jamuan Negara pada 18 September 1963.  Ia turut juga digunakan sebagai tempat untuk istiadat penghormatan terakhir Bekas Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak sebelum dikebumikan.  


Dewan Bankuet.


Bangunan Parlimen juga turut dihiasi dengan beberapa jenis tumbuhan yang  jarang ditemui seperti Pokok Beringin (Ficus Benjamina) dan Pokok Hujan Hujan (Samanea Saman). Di samping itu, sebuah kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa di mana telah menempatkan berpuluh-puluh ekor rusa dari spesis Axis-axis yang telah dihadiahkan oleh Presiden Suharto kepada Parlimen Malaysia. Pada tahun 2007, Bangunan Parlimen Malaysia telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Taman Rusa.

 

Kemaskini Terakhir pada: 4 April 2016  Spacer | Spacer Hits: 40068
 Spacer
Bancian
Ikuti Kami

Facebook ParlimenRSS

Hubungi Kami


Parlimen Malaysia,
Bangunan Parlimen,
50680, Kuala Lumpur.

Tel : +(603) 2072 1955 /
      +(603) 2601 7222
Faks : +(603) 2072 7436

Emel :

Pengunjung Portal:
Semasa:27
Hari Ini:3910
Minggu Ini:11023
Bulan Ini:157939
Tahun Ini:389772
Tahun Lepas:1047021
Keseluruhan:13374529
Sejak:2009
Kemaskini Terakhir pada: 24/03/2017.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2017 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.288 saat
Versi Paparan Penuh