Siaran Media Realisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia
control 1control 2control 3
 
PARLIMEN MALAYSIA
KUALA LUMPUR
 

 

SIARAN MEDIA
OLEH
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA

 

REALISASIKAN ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA

  

KUALA LUMPUR: “Keluarga Malaysia jangan menerima nasib seperti 1Malaysia. Ibarat tukar pelana, kudapun ditukar”, demikian kata Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim semasa berucap merasmikan Forum Keluarga Malaysia anjuran Institut Tadbiran Awam Malaysia (INTAN) hari ini.

 
Menurut beliau lagi, penjawat awam dan masyarakat perlu menggembeling tenaga dan bekerjasama merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengamalkannya dalam segenap bidang. Malaysia mempunyai tiga komponen bangsa yang utama iaitu Melayu, Cina dan India. Justeru untuk merealisasi aspirasi yang dicetuskan, empat perkara utama yang perlu dilihat iaitu ia mesti jelas, terampil, mudah difahami dan praktikal. “Persoalannya hari ini ialah adakah konsep Keluarga Malaysia relevan dalam setiap komuniti, adakah ia mudah difahami, adakah ia benar atau realiti dan adakah ia menarik minat segenap lapisan masyarakat”, kata Tan Sri Rais.


“Sekarang kita hanya bercakap tentang keluarga Malaysia tetapi hakikatnya ia tidak diamalkan secara telus oleh masyarakat”, kata beliau. Contohnya bilangan penjawat awam 90% terdiri daripada bumipuera sedangkan kuota 25-30 peratus layak diperuntukkan bagi kaum-kaum lain. Lantaran itu, Jabatan Perkhidmatan Awam perlu memikirkan semula langkah-langkah yang boleh menarik minat masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai sektor perkhidmatan awam. “Hanya dengan cara ini dapat dirasakan oleh pelbagai kaum tentang kepentingan bersama dalam menerajui perkhidmatan awam” jelas beliau.

 

Forum Keluarga Malaysia yang dianjurkan oleh INTAN menampilkan ahli panel yang tersohor seperti Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Felo Kanan Institute of Strategic & International (ISIS), Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Generasi Gemilang, Melissa Ngiam. Turut hadir pada majlis perasmian tersebut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Seri Mohd. Syafiq Abdullah dan Pengarah INTAN, Datuk Dr. Alauddin Sidal.

 

Dalam ucapan perasmian itu juga, Tan Sri Rais turut menyeru Kementerian Pendidikan agar menerapkan kembali kefahaman tentang Rukun Negara ke dalam sukatan pelajaran di sekolah di samping melestarikan semula Sekolah Kebangsaan yang mampu menarik minat semua kaum untuk anak-anak mereka. Justeru kata beliau, sekolah kebangsaan perlu bersifat “universal” dan tidak menggambarkan hanya sesuatu kaum dan agama.

 

Tidak ketinggalan juga, Tan Sri Rais mencadangkan Rukun Negara dijadikan undangundang negara seperti di Indonesia. Jabatan Penerangan dan Jabatan Perpaduan perlu menyemarakkan kembali roh Rukun Negara dalam setiap kempen dan program yang dianjurkan. Hanya dengan cara itu, aspirasi Keluarga Malaysia akan berada di peringkat kecemerlangan.

 

 

 9 Jun 2022
Kuala Lumpur

 


Kemaskini terakhir pada: 9 Jun 2022 | Hits: 814

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 30/01/2023.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2023 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.036 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my