Kenyataan Media Pesta Beras Adan 2024 Mengukuhkan Usaha Komuniti Petani Ba'kelalan Dalam Membangunkan Ekonomi Tempatan
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

        KENYATAAN MEDIA  

     PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA

PESTA BERAS ADAN 2024 MENGUKUHKAN USAHA KOMUNITI PETANI BA'KELALAN DALAM MEMBANGUNKAN EKONOMI TEMPATAN

 

19 April 2024, Ba’Kelalan, Lawas, Sarawak – YB Senator Datuk Mutang, Yang di- Pertua Dewan Negara telah merasmikan Pesta Beras Adan 2024 hari ini. Pesta yang diadakan kali ke-3 adalah anjuran penduduk tempatan dan turut dihadiri oleh YB Senator Datuk Nurjazlan Tan Sri Mohamad, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, dan YB Datuk Henry Sum, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II serta Ahli Parlimen Lawas, YBhg Dato Ahmad Nazri bin Mohd Hassan, Setiausaha Persekutuan Sarawak dan Brigadier Jeneral Ahmad Norzaini bin Badrun, Panglima Bridged 9. Bagi menjayakan sambutan Pesta Beras Adan 2024 ini, YB Senator Datuk Mutang telah turut memberi sumbangan sebanyak RM10,000.00 kepada pihak penganjur.
 

Dalam ucapan beliau, YB Senator Datuk Mutang menyuarakan harapan dan aspirasi beliau terhadap perkembangan Pesta Beras Adan serta komuniti petani Ba'Kelalan.

 

"Beras Adan ini telah memiliki hak milik intelektual (IP) dan diiktiraf sebagai beras organik premium dan saya berharap agar komuniti petani Ba'Kelalan mengambil inisiatif untuk menghasilkannya secara komersial dan mempromosikan kualiti unik dan nilai Beras Adan ini. Ini termasuklah penjenamaan dan pembungkusan Beras Adan bagi mencerminkan bahawa ia adalah beras organik premium."

 

Beliau menekankan keunikan ciri Beras Adan organik yang diusahakan menggunakan kaedah tradisional yang telah diwarisi dari generasi ke generasi dan pengairannya adalah daripada sumber air yang diperolehi dari anak sungai gunung berdekatan.

 

Menurut beliau lagi, komuniti petani Ba'Kelalan perlu menjalankan usaha secara kolektif di kalangan mereka sendiri dan berkolaborasi untuk memulakan inisiatif untuk pengeluaran komersil Beras Adan yang akan membawa manfaat ekonomi yang lebih besar kepada komuniti. Selain itu, petani Ba'Kelalan perlu menginovasikan kaedah pertanian mereka dari segi mekanikal dan automasi tanpa mengabaikan kualiti organik premium beras Adan ini.

 

"Apabila usaha ini telah dijalankan, komuniti petani Ba'Kelalan boleh memohon kerjasama, bantuan dan sokongan daripada agensi Kerajaan Negeri & Persekutuan, terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, penjenamaan, promosi dan pemasaran Beras Adan hingga ke pasaran antarabangsa. Buat masa ini, Beras Adan juga hanya ditanam satu kali setahun, penanaman berganda masih belum

 

berjaya dan kajian yang lebih komprehensif oleh agensi Kerajaan seperti Mardi dan universiti tempatan akan membantu untuk menjayakannya.

 

Menurut beliau lagi, Parlimen Malaysia boleh memainkan peranan dalam menghubungkan komuniti petani Ba'Kelalan kepada agensi Kerajaan Negeri & Persekutuan yang sentiasa bersedia untuk membantu mereka.

 

Menurut Datuk Mutang, pembangunan infrastruktur di kawasan Ba'Kelalan juga telah dijadualkan dalam beberapa tahun yang akan datang, termasuk pembinaan jalan, pusat rawatan air, sambungan elektrik yang berterusan dan stabil, serta penambahbaikan capaian internet.

 

"Dengan penambahbaikan infrastruktur ini, komuniti Ba'Kelalan harus membangunkan tanah mereka dan mula menghasilkan sayur-sayuran segar, buah- buahan serta bunga-bunga yang hanya terdapat di kawasan dataran tinggi seperti penghasilan komersial di Kundasang dan Cameron Highlands. Ini akan menghasilkan pendapatan tambahan bagi mereka selain penggantungan kepada pengeluaran Beras Adan dan pada masa yang sama menarik lebih banyak pelancong untuk melawat Ba'Kelalan."

 

Selain Beras Adan, Ba'Kelalan mempunyai potensi besar untuk dipasarkan dan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan ekologi.

 

YB Senator Datuk Mutang Tagal adalah merupakan Orang Ulu pertama yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada 15 Februari 2024 lepas dan beliau adalah daripada suku kaum Lun Bawang di Ba’Kelalan.

 

Pesta Beras Adan 2024 ini akan berlangsung selama 2 hari bermula 19 April 2024 dan terdapat pelbagai aktiviti lain yang diadakan seperti Jamuan Rakyat, sukan dan tarian tradisional serta pertunjukan kebudayaan dan masakan Lun Bawang. Untuk maklumat lanjut mengenai Pesta Beras Adan dan Ba’Kelalan, orang ramai boleh menghubungi En. Lisa Buing di 012-893 6187 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA
19 April 2024
Pertanyaan Media:

Norhayati Abd Manaf, Setiausaha Akhbar Tel: +6012 – 393 5075 / Email: norhayati@parlimen.gov.my Ref No: PAR/YPDN/AM.23 (23)

 

 

 

 

Fakta Pesta Beras Adan & Ba’Kelalan:

  1. Sambutan pertama dan kedua diadakan pada tahun 2019 & 2022 dan Pesta Beras Adan tahun ini adalah sambutan kali ketiga. Sambutan dihentikan sementara akibat daripada sekatan wabak COVID-19 namun ianya akan bermula semula secara tahunan mulai tahun ini.
  2. Sambutan ini adalah anjuran komuniti penanam beras Adan di Ba’Kelalan
  3. Selain cuaca sejuknya yang menarik, tarikan semulajadi yang boleh dinikmati oleh pelancong di Ba’Kelalan termasuk:
    1. Aktiviti Mendaki dan Merentasi Hutan: Ba'Kelalan dikelilingi oleh landskap semulajadi yang menakjubkan dan sesuai untuk aktiviti mendaki dan merentasi hutan. Para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi sambil menikmati udara segar kawasan pergunungan.
    2. Pemerhatian Burung: Kawasan Ba'Kelalan adalah rumah kepada lebih daripada 600 spesies burung di Utara Sarawak. Aktiviti pemerhatian burung adalah antara tarikan utama di sini, di mana pelancong dapat menikmati keindahan burung-burung yang unik dalam habitat semulajadi mereka.
    3. Sumber Air Garam: Ba'Kelalan juga terkenal dengan sumber air garamnya yang mempunyai pelbagai manfaat kesihatan. Pelancong dapat menikmati mandi air garam semulajadi dan menikmati kebaikan kesihatan yang ditawarkannya.


Kemaskini terakhir pada: 19 April 2024 | Hits: 267

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 30/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.031 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my