Kenyataan Media Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat
control 1control 2control 3
 
PARLIMEN MALAYSIA
KUALA LUMPUR
 

KENYATAAN MEDIA 
BERSAMA OLEH
YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA DAN YANG-DIPERTUA DEWAN RAKYAT

 
TRANSFORMASI PARLIMEN
 
Kami, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat berbesar hati menerima kunjungan YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) pada 2 September 2021.

Pada pertemuan tersebut, kesemua pihak telah membincangkan dan membuat kata sepakat mengenai agenda penambahbaikan struktur pentadbiran serta kerangka perundangan yang bersangkutan dengan peranan Parlimen Malaysia demi memartabatkan dan mengukuhkan kedudukan Parlimen Malaysia sebagai sebuah cabang institusi Kerajaan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Tumpuan kepada agenda penambahbaikan adalah pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) serta mewujudkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 bagi memastikan konsep pengasingan kuasa benar-benar dihayati, dihormati dan diamalkan agar kewibawaan Parlimen selaku badan legislatif tertinggi negara diperkasakan.

Selari dengan pelan transformasi ini juga, Peraturan Mesyuarat bagi kedua-dua iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan ditambah baik, meliputi aspek perjalanan mesyuarat, disiplin ahli serta bagi memperkuatkan jawatankuasa- jawatankuasa pilihan yang telah dan bakal dibentuk.

Cadangan kepada langkah transformasi Parlimen ini adalah hak Parlimen dan akan digerakkan secepat mungkin sebelum diangkat kepada Kabinet untuk dinilai dan diluluskan.

Kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat berbesar hati dengan komitmen serta buah fikiran yang diberikan oleh YB Menteri kepada agenda penambahbaikan tersebut dan cadangan pembentukan sebuah Jawatankuasa Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Jabatan Perdana Menteri demi memastikan agenda penambahbaikan tersebut dapat dijadikan kenyataan.

Sesungguhnya, kami kedua-dua Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat amat menyambut baik dan akan memberikan sokongan padu langkah transformasi dan reformasi Parlimen yang akan diusahakan sebagai manifestasi kecaknaan untuk mendaulatkan demokrasi berparlimen dan prinsip pengasingan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perundangan negara dapat berfungsi dengan sebenarnya dan terus kekal terpelihara.

Sehubungan itu, kami bertiga akan terus berlibat urus dari semasa ke semasa untuk tujuan tersebut.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

SENATOR TAN SRI DATO‘ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM
Yang di-Pertua Dewan Negara

 

DATUK AZHAR AZIZAN HARUN
Yang di-Pertua Dewan Rakyat

 

3 September 2021
Parlimen Malaysia
Kuala Lumpur


Kemaskini terakhir pada: 3 September 2021 | Hits: 414

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 07/12/2021.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2021 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.036 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my