MAJLIS PERASMIAN PENUTUP: PROGRAM JANGKAUAN PARLIMEN: BENGKEL PEMANTAPAN BELIA ORANG ASLI 2023
YB Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Cameron Highlands pada hari ini telah menyampaikan ucapan perasmian penutup sempena Program Jangkauan Parlimen: Bengkel Pemantapan Belia Orang Asli 2023 di Dewan Bankuet, Blok Utama, Kompleks Parlimen Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan khususnya kepada mahasiswa & mahasiswi Orang Asli agar sentiasa peka dan bersedia kepada sebarang perubahan demi kemajuan diri. Namun begitu, turut ditegaskan agar mengamalkan sikap berintegriti dan beramanah dalam tugas yang diberikan.
Berkonsepkan sebuah program pendidikan, objektif utamanya ialah memberi kesedaran dan pemahaman tentang institusi Parlimen terutama kepada belia Orang Asli.
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari melibatkan seramai 30 orang Belia terdiri daripada pelbagai suku kaum Orang Asli telah mengadakan Bengkel Pemantapan Belia Orang Asli 2023 mulai 28 – 29 Oktober 2023 di Pusat Latihan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Damansara Damai, Selangor.
Pelaksanaan Program Jangkauan Parlimen merupakan jalinan kerjasama antara Parlimen Malaysia bersama JAKOA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Pelbagai aktiviti telah dirangka oleh pihak urusetia serta ruang pameran dalam usaha menyampaikan maklumat kepada para peserta.
Dalam Majlis Perasmian Penutup pada hari ini, para peserta turut berpeluang menyaksikan persidangan Dewan Rakyat yang telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Ramli bin Dato’ Mohd Nor, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan taklimat oleh Bahagian Komunikasi Korporat mengenai Parlimen Malaysia ketika sesi lawatan berpandu ke Dewan Negara serta persekitaran kompleks Parlimen Malaysia.
Hadir bersama YBhg. Datuk Haji Muhamad Zamani bin Mohd Ali, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, YBrs. Tuan Riduan Rahmat, Setiausaha Bahagian (Pengurusan) serta Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Parlimen Malaysia.
©️ Bahagian Komunikasi, Parlimen Malaysia | Julie | Hazirah
Bahagian Komunikasi
Parlimen Malaysia
30 Oktober 2023