Pada Parlimen Ke-15, usul berkaitan penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 21 Mac 2023.

Setiap Jawatankuasa Pilihan Khas mempunyai terma rujukan masing-masing. Kementerian dan agensi-agensi dibawahnya yang berkaitan dengan fungsi setiap Jawatankuasa Pilihan Khas dilantik sebagai wakil tetap (ex-officio) yang berperanan untuk menasihati dan memberikan pandangan kepada Jawatankuasa mengikut bidang tugas dan kepakaran masing-masing.
 
Keanggotaan setiap Jawatankuasa Pilihan Khas seramai 9 orang Ahli Dewan Rakyat iaitu 6 daripada pihak Kerajaan dan 3 daripada pihak Pembangkang. Komposisi ahli yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah berdasarkan keperluan Peraturan Mesyuarat 82(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR). Pengerusi bagi setiap Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipilih oleh Jawatankuasa Pilihan Khas masing-masing seperti diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 81(1) PPMDR.