GLOSARI
control 1control 2control 3
  • Ahli Parlimen

    Ahli yang dipilih mewakili kawasan pilihan raya atas dasar sokongan ramai melalui pilihanraya yang diadakan setiap lima tahun.  

  • Ahli Parlimen Bebas

    Seseorang Ahli Parlimen yang tidak menyertai sebarang parti politik.  

  • Ahli Penyokong Kerajaan

    Ahli Parlimen Kerajaan yang tidak memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri. Istilah ini berasal daripada House of Common, UK, yang menempatkan Ahli-ahli yang tidak memegang jawatan eksekutif di barisan belakang dalam susunan dalam Dewan.  

  • Ahli Yang Menjaga

    Seorang Ahli yang bertanggungjawab ke atas sesuatu perkara, contohnya, sebuah usul atau Rang Undang-Undang di Dewan. Ahli yang menjaga hendaklah mencadangkan dan membacanya untuk memulakan perbahasan dan menjawab untuk memutuskannya. Dalam kes Rang Undang-Undang Kerajaan, ahli yang menjaga adalah Menteri yang memegang portfolio yang releven dengan perkara tersebut.  

  • Akta Parlimen

    Akta adalah Rang Undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan disetujui oleh SPB Yang di-Pertuan Agong.  

  • Aturan Urusan Mesyuarat

    Aturan yang ditetapkan untuk urusan-urusan bagi tiap-tiap persidangan mesyuarat. Majlis Mesyuarat boleh memutuskan untuk menetapkan aturan yang lain.  

  • Bacaan kali yang ketiga

    Bacaan kali yang ketiga mengehadkan isi perbicaraan kepada isi sesuatu Rang Undang-undang itu sahaja dan perbicaraan tentang perkara-perkara yang tidak termasuk dalam Rang Undang-undang itu adalah menyalahi peraturan.  

  • Bacaan Pertama

    Pengenalan rasmi Rang Undang-Undang kepada Dewan Rakyat yang mana ia dilakukan secara formal, ringkas dan tidak ada apa-apa perdebatan ketika ia berlangsung.  

  • Bahasa Rasmi

    Bahasa Rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia tetapi Bahasa Inggeris boleh digunakan dengan kebenaran Tuan Yang di-Pertua.  

  • Bahasa yang Tidak Sesuai di Parlimen

    Penggunaan sesuatu bahasa, perkataan atau ungkapan yang kurang sopan (biadap) atau apa-apa pernyataan seksis oleh Ahli-ahli Dewan yang merupakan kesalahan menurut Peraturan Mesyuarat Perkara 36(4).  

  • Belahbahagian

    Belahbahagian adalah undian yang mana setiap Ahli akan ditanya pihak yang hendak diundi. Belahbahagian ini diadakan apabila keputusan undian suara menerima bantahan dengan lapan atau lebih Ahli Dewan Negara, dan lima belas atau lebih Ahli Dewan Rakyat bangun minta diadakan belahbahagian.  

  • Bentara

    Bentara bertanggungjawab menjaga ketenteraman di dalam Dewan. Beliau bertindak atas arahan Tuan Yang di-Pertua dan boleh menyingkirkan sesiapa jua dari Dewan, jika diperintahkan. Bentara juga adalah penjaga Cokmar dan menjalankan tugas istiadat sebagai pembawa Cokmar semasa perarakan Tuan Yang di-Pertua masuk dan keluar Dewan.  

  • Berhak Berucap

    Jika seseorang Ahli berhak berucap, ini bermakna beliau sedang berucap dan Ahli-ahli yang lain hanya boleh mencelah apabila beliau mengizinkan.  

  • Cokmar

    Satu alat kebesaran yang telah dikurniakan oleh Raja-raja Melayu yang menjadi simbol kuasa di-Raja dan seterusnya kuasa Parlimen. Tanpa cokmar ini, tiada keabsahan bagi kedua-dua Dewan dan persidangan tidak dapat dijalankan.  

  • Cukupbilang

    Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat adalah seperti berikut:
    1) Dewan Negara hendaklah mengandungi sepuluh orang Ahli tidak termasuk Tuan Yang di-Pertua/Pengerusi.
    2) Dewan Rakyat hendaklah mengandungi dua puluh enam orang Ahli tidak termasuk Tuan Yang di-Pertua/Pengerusi.
    3) Kamar Khas hendaklah mengandungi tiga orang Ahli termasuk Tuan Yang di-Pertua.  

  • Dalam Timbangan Mahkamah

    Apa-apa perkara yang di dalam pertimbangan perbicaraan mahkamah, tidak boleh dibahaskan di dalam Majlis kerana ia boleh mempengaruhi penghakiman mahkamah.  

  • Dewan Negara

    Dewan Negara terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen yang juga dikenali sebagai Senator, dipilih daripada kalangan mereka yang telah mencapai kecemerlangan dalam profesion masing-masing serta mewakili golongan minoriti dalam masyarakat. Keahlian Dewan Negara adalah melalui dua cara iaitu pemilihan oleh Dewan Undangan Negeri dan lantikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Jumlah kerusi senator adalah sebanyak 70 kerusi.  

  • Dewan Rakyat

    Dewan Rakyat terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun. Jumlah Ahli Parlimen adalah seramai 222 orang yang mewakili kawasan parlimen masing-masing.  

  • Embargo

    Sesuatu dokumen rasmi yang tidak boleh disiar atau diterbitkan sehingga dibentangkan di Parlimen.  

  • Fasal

    Setiap perenggan yang bernombor dalam sesuatu Rang Undang-undang adalah dirujuk sebagai fasal.  

  • Galeri Awam

    Galeri Awam adalah tempat untuk para pelawat mengikuti sidang Parlimen  

  • Istiadat Pembukaan Parlimen

    Upacara rasmi yang menandakan bermulanya Parlimen yang baharu atau penggal baharu dalam Parlimen yang sedia ada. Kemuncak upacara ini adalah Titah Diraja. Di akhir Titah Diraja, Dewan ditangguhkan dan bersidang semula keesokan hari untuk memulakan perbahasan tentang Titah Diraja itu.  

  • Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara

    Jawatankuasa Pilihan yang memeriksa pelbagai akaun Kerajaan yang menunjukkan pengasingan dana yang diluluskan oleh Parlimen bagi menampung perbelanjaan negara, serta akaun lain yang dikemukakan kepada Parlimen bersama Laporan Ketua Audit Negara.  

  • Jawatankuasa Pemilih

    Jawatankuasa Pemilih dilantik pada awal tiap-tiap Majlis Parlimen untuk menjalankan kewajipan-kewajipan yang diperuntukkan oleh Peraturan-peraturan Mesyuarat. Jawatankuasa Pemilih ini hendaklah memaklumkan kepada Majlis apabila seseorang ahli menjadi ahli sesebuah Jawatankuasa dengan mengeluarkan satu penyata.  

  • Jawatankuasa Peraturan-peraturan  Mesyuarat

    Sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi mengkaji dari semasa ke semasa setiap peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat sama ada untuk meminda, menambah atau membatalkan peruntukan itu dan seterusnya mengeluarkan penyata kepada Majlis.  

  • Jawatankuasa Pilihan

    Jawatankuasa Pilihan adalah kumpulan kecil Ahli Parlimen yang ditubuhkan untuk menyiasat atau meneliti isu tertentu secara terperinci. Mereka boleh memanggil pegawai dan pakar untuk soal siasat dan boleh meminta maklumat daripada Kerajaan. Jawatankuasa Pilihan menyediakan hasil penemuan mereka dalam laporan dan Kerajaan diminta untuk memberi maklum balas kepada apa-apa cadangan yang dibuat.  

  • Jawatankuasa Pilihan Khas

    Sebuah jawatankuasa pilihan khas ditubuhkan untuk mengkaji perkara-perkara tertentu dan membentangkan laporannya kepada Majlis. Jawatankuasa ini hendaklah dilantik dan tertakluk dengan perintah Majlis. Ahli-ahlinya dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih.  

  • Jemaah Menteri

    Cabang eksekutif Kerajaan Malaysia yang dianggotai oleh Menteri-menteri dan diketuai oleh Perdana Menteri. Anggota Jemaah Menteri adalah dipilih daripada kalangan Ahli Parlimen Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.  

  • Kabinet Bayangan

    Sekumpulan Ahli daripada pihak Pembangkang yang bertindak sebagai jurucakap Pembangkang tentang bidang-bidang utama Kerajaan. Setiap anggota kabinet bayangan dilantik untuk menerajui bidang dasar khusus untuk parti mereka dan untuk mempersoalkan dan mencabar Ahli Parlimen yang bertanggungjawab untuk portfolio itu dalam Kabinet. Dengan cara ini, Pembangkang dapat menonjolkan diri mereka sebagai alternatif bakal kerajaan.  

  • Kamar atau Dewan

    Ruang fizikal tempat Parlimen bersidang.  

  • Kamar Khas

    Kamar Khas telah diwujudkan bagi membolehkan perkara-perkara penting atau mendesak dalam negara dibincangkan tanpa mengganggu prosiding biasa Dewan Rakyat. Kamar Khas telah bersidang buat pertama kalinya pada 16 Mei 2016.  

  • Kawasan Parlimen

    Kawasan geografi tertentu yang pengundinya diwakili oleh sebuah kerusi. Wakil yang memenangi pilihan raya bagi sesuatu kawasan parlimen akan menduduki kerusi Parlimen untuk kawasan itu di Dewan Rakyat. Sempadan kawasan parlimen ini ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.  

  • Keistimewaan Parlimen

    Keistimewaan yang diberikan kepada Majlis Parlimen semasa perbahasan yang mana kesahan apa-apa prosiding di dalam Majlis Parlimen tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.  

  • Kepala Perbelanjaan

    Tajuk dalam senarai tujuan perbelanjaan.  

  • Kerajaan

    Parti yg memperoleh kerusi majoriti akan membentuk kerajaan bagi mentadbir negara.  

  • Kertas Aturan Urusan Mesyuarat

    Dokumen awam yang mengandungi agenda untuk Majlis Mesyuarat pada hari tersebut, termasuk pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, aturan urusan mesyuarat, usul dan rang undang-undang yang akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat.  

  • Kertas Pemberitahu

    Sebuah kertas Pemberitahu kepada Ahli-ahli tentang soalan, Rang Undang-Undang, usul dan perkara-perkara yang diperkenalkan di Dewan untuk Majlis Mesyuarat akan datang.  

  • Kerusi atau Pengerusi

    Istilah ini merujuk kepada Kerusi Dewan atau Kerusi Jawatankuasa. Tuan Yang di-Pertua menduduki Kerusi Dewan dan Pengerusi menduduki Kerusi Jawatankuasa. Ahli dikehendaki menyampaikan semua ucapan dan kata-kata “kepada Pengerusi” dan bukan kepada mana-mana Ahli lain.  

  • Ketua Majlis Mesyuarat

    Ketua Majlis Mesyuarat merupakan seorang Ahli yang dipilih untuk mengetuai Kerajaan (Perdana Menteri).  

  • Ketua Pembangkang

    Seorang Ahli dalam kalangan Pembangkang hendaklah dipersetujui untuk menjadi Ketua Pembangkang dan diperakui oleh Tuan Yang di-Pertua.  

  • Loceng

    Loceng elektronik dibunyikan sebagai tanda sidang akan dimulakan dan Ahli harus masuk ke dalam Dewan. Semasa sidang, loceng dibunyikan untuk mengarahkan Ahli masuk untuk mengundi dalam undi belahbahagian atau untuk membentuk cukupbilang.  

  • Majlis

    Merujuk kepada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara.  

  • Menamakan Ahli

    Sebuah pengisytiharan oleh Pengerusi yang mendapati bahawa perkhidmatan seseorang ahli yang berkelakuan tidak senonoh atau melakukan perbuatan yang menghina Majlis Mesyuarat. Ahli tersebut hendaklah dengan serta merta keluar dari Majlis Mesyuarat.  

  • Menangguhkan

    Menangguhkan sesuatu hingga lain masa.  

  • Menangguhkan Majlis

    Untuk menamatkan Majlis Mesyuarat, seorang Menteri hendaklah mencadangkan “Iaitu Majlis Mesyuarat ini ditangguhkan sekarang” atau pada bila-bila masa yang telah ditetapkan. Jika usul disetujui, Mesyuarat hari itu ditamatkan dan disambung semula pada hari sidang berikutnya. Mesyuarat juga boleh ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan apabila tamatnya hari terakhir persidangan sesuatu sesi Mesyuarat.  

  • Menangguhkan Mesyuarat – Perkara Tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan.

    Dengan izin Majlis Mesyuarat, seorang Ahli boleh bangkit pada waktu yang ditetapkan untuk mengusulkan supaya ditangguhkan Majlis Mesyuarat bagi membincangkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan. Pemberitahuan bersurat mengenai perkara yang hendak dirundingkan perlu diserahkan kepada Tuan Yang di-Pertua sekurang-kurangnya dua puluh empat jam sebelum persidangan (tidak termasuk hari kelepasan).  

  • Mendahului Perbahasan

    Adalah salah pada peraturan mesyuarat mendahului perbahasan atas sesuatu perkara yang berkaitan Rang Undang-undang yang ada dalam Aturan Urusan Mesyuarat atau perkara yang telah dikeluarkan pemberitahuan tarikh akan dibahaskan.  

  • Mengangkat Sumpah

    Setiap Ahli hendaklah melafazkan sumpah seperti yang disebut dalam Jadual Keenam dalam Perlembagaan diikuti dengan penurunan tandatangan dalam sebuah buku yang akan disimpan oleh Setiausaha.  

  • Mengganggu

    Perbuatan seseorang Ahli yang bercakap (menyampuk) tanpa kebenaran ketika seorang Ahli lain sedang berbahas.  

  • Merentikan Kuat kuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat

    Majlis Mesyuarat tidak boleh membincangkan apa-apa Rang Undang-undang, pindaan, usul, atau rayuan sekiranya Tuan Yang di-Pertua memikirkan bahawa ianya akan menghentikan mana-mana kuat kuasa Peraturan Mesyuarat.  

  • Parlimen

    Parlimen adalah badan perundangan tertinggi di negara, merangkumi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Fungsi utama Parlimen ialah meluluskan undang-undang negara. Tempoh sesebuah Parlimen adalah tidak lebih lima tahun.  

  • Parlimen Tergantung

    Suatu situasi di mana tiada parti politik atau pakatan parti politik yang tertentu yang mempunyai jumlah ahli atau kerusi Parlimen yang terbanyak dalam Parlimen.  

  • Pembangkang

    Parti atau parti-parti politik di Parlimen yang bukan Kerajaan.  

  • Pemberitahuan

    Pemberitahuan untuk sesuatu perkara perlu diberikan sebelum sidang dewan. Sebagai contoh, Setiausaha hendaklah menulis kepada Ahli-ahli memberitahu tarikh-tarikh mesyuarat Majlis Mesyuarat bagi penggal tersebut sekurang-kurangnya 28 hari sebelum bermula setiap penggal Parlimen.  

  • Pengerusi

    Tuan Yang di-Pertua atau Timbalan Yang di-Pertua menyandang peranan Pengerusi apabila Majlis bersidang dalam peringkat Jawatankuasa. Apabila Tuan Yang di-Pertua menyandang peranan Pengerusi, istilah “Tuan Pengerusi” digunakan apabila mempengerusikan sidang.  

  • Penggal Parlimen

    Penggal Parlimen bermula dari pembukaan Parlimen sehingga Parlimen diprorog. Kebiasaannya, penggal Parlimen bermula pada bulan Mac dan berakhir pada bulan Disember.

    *lihat juga Prorog  

  • Penggantungan Ahli

    Penggantungan Ahli yang diarahkan oleh Tuan Yang di-Pertua disebabkan perbuatan menghina Majlis Mesyuarat dan kuasa Yang di-Pertua.  

  • Pengosongan Kerusi

    Majlis Mesyuarat boleh mengosongkan sesebuah kerusi atas beberapa sebab contohnya kehilangan kelayakan, pelepasan keahlian oleh Ahli-ahli, dan ketidakhadiran Ahli-ahli.  

  • Penjelasan

    Seseorang Ahli Parlimen boleh mencelah sebentar ucapan Ahli lain untuk mendapatkan penjelasan, dengan syarat Ahli yang berucap itu sedia memberi laluan dan mengizinkan penjelasan diberikan. Ahli-ahli juga boleh menjelaskan bahagian tertentu daripada ucapannya yang disalahertikan atau disalahtafsirkan.  

  • Penyata Rasmi (Hansard)

    Istilah khas Parlimen bagi laporan rasmi yang merekodkan prosiding sidang Parlimen. Penyata Rasmi adalah laporan verbatim yang disunting menerangkan prosiding persidangan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.  

  • Penyata Rasmi Mesyuarat

    Rekod prosiding Parlimen atau Jawatankuasa secara verbatim. Laporan verbatim diterbitkan sebagai Penyata Rasmi Mesyuarat.

    *lihat Hansard  

  • Penyokong

    Ahli Dewan yang menyokong sesuatu usul.  

  • Peraturan Mesyuarat

    Peraturan Mesyuarat adalah satu permohonan/rayuan yang dibuat kepada Tuan Yang di-Pertua untuk mendapatkan penjelasan atau arahan berkenaan tatacara/tertib mesyuarat Majlis terutama apabila seseorang Ahli merasakan berlakunya perlanggaran terhadap Peraturan Majlis Mesyuarat dengan menyatakan Peraturan Majlis Mesyuarat yang terlibat.  

  • Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat

    Peraturan-peraturan yang diluluskan oleh Majlis untuk mengawal Majlis Mesyuarat. Peraturan ini terus berkuat kuasa sehingga dipinda atau dimansuhkan oleh Majlis. Peraturan Mesyuarat boleh digantung melalui ketetapan sama ada untuk sementara waktu ataupun untuk tujuan tertentu.  

  • Peringkat Jawatankuasa

    Selepas Bacaan Kali yang Kedua bagi sesuatu Rang Undang-undang, Majlis Mesyuarat akan masuk ke Peringkat Jawatankuasa di mana setiap fasal dalam Rang Undang-undang tersebut akan disemak dengan teliti.
    Bagaimanapun, di Dewan Negara, Rang Undang-undang Perbekalan Tahunan dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan tidak akan melalui Peringkat Jawatankuasa dan akan terus kepada Bacaan Kali Ketiga.  

  • Perkara

    Setiap perenggan bernombor yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan disebut "Perkara". Perkara dalam Perlembagaan serupa dengan "seksyen" dalam Akta Ahli Parlimen dan “fasal” dalam Rang Undang-undang.  

  • Persidangan

    Persidangan merujuk kepada setiap hari mesyuarat. Masa Majlis mesyuarat sekarang adalah dari hari Isnin hingga Khamis, 10 pagi hingga 5.30 petang dan Majlis boleh dilanjutkan sekiranya Usul untuk melanjutkan Majlis dipersetujui.  

  • Pertanyaan-pertanyaan

    Pertanyaan merujuk kepada soalan yang ditujukan kepada Menteri atau Ahli-ahli lain, sama ada secara lisan ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan atau secara bertulis.  

  • Perundangan

    Perundangan adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen. Perkataan ini juga digunakan untuk menggambarkan perbuatan menggubal undang-undang baharu.  

  • Perutusan-perutusan kepada / daripada Dewan Negara

    Sebuah perutusan yang bertujuan untuk memaklumkan bahawa sesebuah Rang Undang-Undang telah dibacakan kali ketiga dan diluluskan oleh Majlis.  

  • Petua Tuan Yang di-Pertua

    Keputusan yang dibuat oleh Tuan Yang di-Pertua tentang cara aturan Majlis harus dilaksanakan atau ditafsirkan. Petua Tuan Yang di-Pertua diperlukan contohnya, apabila satu keadaan baru muncul yang mana tiada duluan yang jelas untuk diikuti.  

  • Pilihan raya

    Proses untuk memilih rakyat menjadi Ahli Parlimen. Boleh merupakan pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Pilihan raya umum diadakan apabila seluruh Parlimen dibubarkan. Pilihan raya kecil pula mungkin diadakan semasa tempoh sebuah Parlimen apabila satu kerusi Parlimen dikosongkan.  

  • Pilihanraya Kecil

    Pilihan Raya Kecil boleh diadakan dalam mana-mana penggal Parlimen jika berlakunya kekosongan kerusi Parlimen atas sebab-sebab selain daripada pembubaran Parlimen.  

  • Pindaan Rang Undang-undang

    Rang Undang-Undang di hadapan Majlis boleh disetujui dengan perubahan tertentu. Perubahan itu dikenali sebagai pindaan. Perubahan dibuat dengan mengusulkan pindaan kepada Rang Undang-Undang atau usul itu, bagi menambah atau menghapuskan kata-kata tertentu dan menggantikannya dengan kata-kata yang lain.  

  • Prorog

    Prorog adalah penamatan satu penggal Parlimen untuk digantikan dengan penggal yang berikutnya.  

  • Pungutan Suara

    Rang Undang-undang dan Usul yang dikemukakan di Parlimen akan diputuskan dengan undi majoriti. Pengundian dilakukan melalui pungutan suara "Ya" dan "Tidak".
    Di akhir perbahasan, Tuan Yang di-Pertua akan mengemukakan pertimbangan Ahli Mesyuarat dan mempelawa supaya “Mereka yang setuju katakan 'Ya'". Ahli yang menyokong usul tersebut akan menurut. Beliau kemudian menyambung “Yang tidak bersetuju katakan 'Tidak'", lalu mereka yang tidak menyokong usul berkenaan pula menyatakan undinya. Berdasarkan kekuatan suara masing-masing pihak Tuan Yang di-Pertua dapat menyatakan pendapatnya dengan berkata, "Lebih suara yang bersetuju, usul disetujukan."" dan sebaliknya jika lebih suara yang "Tidak".  

  • Raja Berperlembagaan

    Sistem pemerintahan yang mana negara diperintah oleh Raja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan. Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan.  

  • Rang Undang-undang Awam

    Rang Undang-Undang berkenaan kepentingan umum orang ramai.  

  • Rang Undang-undang Campuran

    Rang Undang-undang Campuran merupakan Rang Undang-undang yang memberi kesan undang-undang kepada orang awam dan individual atau organisasi tertentu.  

  • Rang Undang-undang Perbekalan

    Suatu Rang Undang-undang yang dicadangkan oleh Kerajaan bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun berkenaan untuk tujuan pembangunan dan pengurusan Negara.  

  • Rang Undang-Undang Private

    Sesuatu Rang Undang-undang, yang bertujuan menyentuh atau yang mendatangkan keuntungan kepada seseorang atau sesuatu persekutuan atau sesuatu perbadanan yang tertentu.  

  • Rang Undang-Undang Wang

    Suatu Rang Undang-Undang yang memperuntukkan untuk menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun tersebut dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.  

  • Rayuan

    Permintaan yang dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat dan rayuan tersebut hendaklah dibawa oleh seorang Ahli. Seseorang Ahli tidak boleh membawa rayuan untuk dirinya sendiri, tetapi rayuan tersebut boleh dibawa oleh Ahli yang lain.  

  • Senarai Undi

    Suatu senarai rasmi yang menyenaraikan warganegara yang telah berdaftar sebagai pengundi dan layak untuk mengundi bagi sesuatu kawasan parlimen tertentu.  

  • Sidang Khas

    Suatu sidang yang diadakan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan kepentingan awam. Sidang ini diadakan di luar persidangan biasa Majlis.  

  • Soalan Tambahan

    Setelah Menteri/Timbalan Menteri memberi jawapan bagi soalan semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan, seseorang Ahli boleh mengemukakan soalan tambahan yang berkaitan dengan soalan asal.  

  • Statut

    Statut merupakan satu Akta Parlimen : suatu undang-undang.  

  • Tajuk Pendek

    Tajuk pendek sesuatu Akta adalah nama yang mana Akta Parlimen tersebut dikenali dan dinamakan, berbeza dengan tajuk panjang yang lebih deskriptif tetapi terlalu panjang untuk digunakan dalam kebanyakan tujuan.  

  • Tempoh Jawatan

    Bagi Ahli Dewan Negara, tempoh mengisi jawatan adalah selama 3 tahun dan Ahli tersebut hanya boleh dilantik semula sekali lagi sahaja, secara berturut mahupun tidak.
    Bagi Ahli Dewan Rakyat pula, seseorang Ahli akan mengisi kerusi bagi tempoh 5 tahun selagi Parlimen tidak dibubarkan ataupun Ahli tersebut hilang kelayakan.  

  • Terjemahan Serentak

    Terjemahan Serentak menterjemahkan apa yang diucapkan oleh Ahli Dewan dalam masa sebenar.
    Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia. Maka apabila pelawat asing hadir untuk mengikuti perbahasan yang berlangsung, perkhidmatan terjemahan serentak disediakan oleh Jurubahasa Serentak bagi menterjemah Bahasa Malaysia kepada Bahasa Inggeris.  

  • Tertib dalam Majlis

    Perbuatan atau kelakuan yang tertib dalam Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa.  

  • Titah daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong

    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberikan titah di hadapan Dewan Parlimen pada Majlis Istiadat Pembukaan Parlimen.  

  • Tuan Yang di-Pertua

    Tuan Yang di-Pertua adalah pengerusi Majlis Mesyuarat.
    Bagi Dewan Negara, Tuan Yang di-Pertua mestilah dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Negara. Oleh itu, tempoh jawatan Yang di-Pertua Dewan Negara adalah tertakluk kepada tempoh keahliannya di Dewan Negara.
    Manakala bagi Dewan Rakyat, Tuan Yang di-Pertua boleh dipilih dalam kalangan Ahli-ahli Dewan Rakyat ataupun bukan, yang mempunyai kelayakan untuk dipilih menjadi Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.  

  • Usul

    Sebuah cadangan kepada Dewan untuk membuat sesuatu, mengarahkan sesuatu untuk dibuat atau menyatakan pendapat terhadap suatu perkara.  

  • Usul Penangguhan

    Suatu teks ucapan yang tidak melebihi 400 perkataan yang dikehendaki dihantar bersama dengan pemberitahu bagi usul menangguhkan mesyuarat kepada Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk diluluskan oleh beliau. Dalam masa ucapan penangguhan, pencelahan atau penjelasan daripada Ahli-ahli lain kepada ahli yang sedang berucap adalah tidak dibenarkan.  

  • Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri

    Seorang ahli boleh mengarahkan pertanyaan kepada Menteri tentang perkara dasar yang dalam tanggungan Menteri itu. Waktu ini mengambil masa selama 30 minit pada setiap hari Selasa dan Khamis sebelum permulaan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan.  

  • Warta

    “Warta” termasuklah Warta rasmi Persekutuan yang disiarkan dalam bentuk elektronik atau lain-lain bentuk melalui perintah Kerajaan termasuk Warta rasmi mana-mana Negeri.


Kemaskini terakhir pada: 2 Mac 2021 | Hits: 54675

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 16/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.058 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my