Perintah Kawalan Pergerakan: Khidmat tentera akan digunakan bermula Ahad
Khidmat tentera akan mula digerakkan Ahad ini bagi membantu polis memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing, dalam usaha membendung penularan kes COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan yakin dengan bantuan kawalan daripada pihak tentera, perintah itu akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

"Kita harap rakyat akan lebih patuh dengan arahan yang diberikan," katanya, yang juga Menteri Pertahanan, pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut penglibatan tentera dalam usaha kawalan pergerakan itu, Ismail Sabri berkata perkara itu adalah di bawah Seksyen 5 Akta  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang mana Menteri Kesihatan boleh memberi kuasa kepada mana-mana agensi untuk melaksanakan peraturan berkaitan. 

Pada masa yang sama, polis akan meneruskan sekatan jalan seperti biasa yang mana setakat ini 11,000 kenderaan telah diperiksa.

Ismail Sabri dalam pada itu menegaskan kerajaan tidak berniat atau merancang untuk mengumumkan darurat seperi yang disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media sosial sejak semalam. 

Memohon orang awam untuk tidak mempercayai berita palsu, beliau berkata tidak ada racun serangga akan disembur menggunakan helikopter untuk membunuh virus COVID-19 seperti yang disebarkan. 

"Saya harap rakyat tidak panik dan mudah untuk menerima berita palsu kerana setiap kementerian mempunyai talian hotline masing-masing untuk dihubungi,"  katanya. 

Pada masa yang sama, beliau berkata mana-mana individu yang tidak sihat namun tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, ia adalah satu kesalahan.

 "Pihak polis boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka, ini termasuk 4,000 individu dari kumpulan tabligh yang menyertai perhimpunan di Sri Petaling yang masih tidak tampil untuk membuat pemeriksaan," katanya. 

Beliau berharap mereka yang berkenaan tampil membuat pemeriksaan dan tidak menunggu sehingga pihak polis datang ke rumah mereka.

"Ini adalah demi kebaikan diri sendiri, orang yang tersayang, keluarga dan masyarakat di sekitar," katanya. - BERNAMA