Taska Parlimen Malaysia Kini Dibuka

Parlimen Malaysia mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya membuka taska sekaligus melonjakkan lagi Parlimen Malaysia setaraf dengan parlimen-parlimen di seluruh dunia yang turut menyediakan fasiliti seumpama ini.

Taska Parlimen Malaysia dibuka kepada Ahli Parlimen, kakitangan kerajaan serta wartawan yang bertugas di Parlimen.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md. Yusof ketika menyampaikan ucapan Majlis Perasmian Taska Parlimen Malaysia berkata Parlimen Malaysia mesra keluarga dan menggalakkan keseimbangan kehidupan-kerja (work-life balance) khususnya buat kakitangan dan pihak yang berurusan di Parlimen.

“Penubuhan Taska Parlimen Malaysia mula beroperasi pada tahun ini merupakan suatu keberhasilan pelan tindakan yang digariskan dalam Pelan Strategik Parlimen Malaysia Tahun 2019-2023 di mana menerusi Teras Strategik 3: Kelestarian Kemudahan Infrastruktur Fizikal, kejayaan menyiapkan Taska Parlimen ini telah melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu untuk mendapat kelulusan projek dan reka bentuk menjelang tahun 2021,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md. Yusof memuji warga Parlimen yang berjaya merealisasikan pembukaan Taska Parlimen Malaysia setahun lebih awal.

“Mewakili Parlimen Malaysia, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian yang telah menyalurkan geran penubuhan taska di tempat kerja sektor awam melalui Bajet 2019 kepada penubuhan Taska Parlimen Malaysia sebagai salah satu daripada 50 buah taska di premis kerajaan yang berjaya menerima geran ini, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada warga Parlimen yang efisien, bukan sahaja dalam mendapatkan geran ini tetapi yang lebih penting lagi memastikan ia digunakan dengan cekap dan akhirnya kepada pengoperasian taska ini,” katanya.

Keperluan terhadap sebuah taska di Parlimen Malaysia tidak lagi boleh diketepikan dengan jumlah kakitangan Parlimen terkini adalah seramai 323 orang dan 43 peratus daripadanya adalah dalam kalangan wanita. Ini diperkuatkan lagi dengan rekod kelahiran baharu oleh warga Parlimen seramai 50 orang bagi tempoh 2018 dan 2019, iaitu 25 orang kelahiran setiap tahun.

Fasiliti penjagaan anak yang berhampiran dengan tempat kerja memberi banyak kelebihan kepada kakitangan sesebuah organisasi. Dapatan daripada pelbagai kajian menunjukkan antara faktor yang mempengaruhi kadar penyertaan tenaga buruh wanita adalah urusan penjagaan keluarga khususnya yang melibatkan anak kecil.

“Kecenderungan untuk bekerja adalah lebih rendah bagi wanita yang mempunyai anak berumur bawah 6 tahun berbanding wanita yang tiada anak berumur bawah 6 tahun. Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima tahun 2014 yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut mendapati 1 daripada 5 wanita bekerja iaitu 18.7 peratus mengalami masalah untuk mengimbangi peranan mereka di antara kerjaya dan keluarga. Faktor masa bersama keluarga, penjagaan anak serta kurang masa untuk diri sendiri mempengaruhi penyertaan golongan wanita dalam tenaga buruh,”kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato' Mohamad Ariff bin Md. Yusof lagi.

BERITA INI DIKELUARKAN PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT