TASKA: TPM SERU AGENSI KERAJAAN MOHON DANA YANG DISEDIAKAN
control 1control 2control 3


KUALA LUMPUR, 7 Feb -- Agensi kerajaan Persekutuan yang memerlukan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), terutama yang mempunyai kakitangan bekerja secara syif, diseru supaya memohon dana yang diperuntuk kerajaan dalam Belanjawan 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sehingga kini hanya 36 agensi yang memohon peruntukan berjumlah RM30 juta itu.

"Agensi-agensi yang memohon ini juga kita kena periksa, boleh atau tak… kita juga nak fikirkan kalau mereka dah ada, mereka nak naik taraf," katanya pada sidang media selepas merasmikan Taska Parlimen Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata peruntukan itu dijangka dapat menambah 150 Taska di tempat kerja sektor awam di seluruh negara, tahun ini, berbanding 64 buah dengan peruntukan sebanyak RM10 juta, tahun lepas.

"Semestinya penubuhan Taska di tempat kerja masing-masing akan dapat memudahkan urusan keluarga dan pekerja di setiap agensi," katanya sambil menambah bahawa keutamaan permohonan diberikan kepada hospital dan sekolah, juga di agensi-agensi yang mempunyai kakitangan yang bekerja syif.

Menurutnya sehingga bulan lepas, sebanyak 241 Taska sudah beroperasi di tempat kerja bagi sektor awam di seluruh negara dan penyediaan kemudahan itu selari dengan iltizam Pakatan Harapan untuk memastikan ekonomi negara peduli wanita.

Jelasnya, statistik menunjukkan jumlah wanita yang berkahwin dan bekerja meningkat setiap tahun dengan jumlah terkini sehingga suku ketiga tahun lepas ialah 3.65 juta, meningkat daripada 3.54 juta tahun sebelumnya dan 3.41 juta pada tahun 2017.

"Peningkatan ini secara langsung meningkatkan keperluan untuk menghantar anak-anak ke Taska," katanya.

Dalam hal ini, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan komited untuk menyediakan sistem sokongan dan kemudahan terutama kepada keluarga yang memerlukan anak-anak dihantar ke pusat jagaan ketika ibu bapa bekerja.

"Kami mahukan ibu bapa mendapat ketenangan apabila mengetahui anak-anak mereka dijaga dengan baik dan selamat. Perkara ini sedikit sebanyak mampu meningkatkan prestasi mereka semasa bekerja kerana lebih banyak tumpuan dapat diberikan kepada tugas-tugas yang perlu diselesaikan," katanya.

Selain sektor awam, Dr Wan Azizah turut menggesa sektor swasta supaya dapat menyediakan insentif dalam penyediaan penjagaan kanak-kanak bagi pekerja mereka.

Menurutnya, kerajaan juga kini dalam usaha menyelaras semula pelbagai pusat jagaan serta pendidikan awal kanak-kanak yang ketika ini di bawah pelbagai agensi, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

"Penyelarasan semula ini dibuat untuk menambah baik tadbir urus dan memastikan kualiti penjagaan, pendidikan, tenaga pengajar, skop keselamatan serta aspek pemakanan kanak-kanak menepati piawaian ditetapkan," katanya.

Mengenai Taska Parlimen Malaysia yang dibuka sejak 2 Jan lepas, Dr Wan Azizah berharap ia dapat memudahkan urusan ibu bapa terutama mereka yang bekerja syif, lebih masa, serta dapat menyediakan ruang asuhan kepada anak-anak ahli Parlimen dan pengamal media yang bertugas di Parlimen.

Setakat ini, terdapat seramai 13 tenaga pengajar dengan 50 kanak-kanak berdaftar di Taska berkenaan. - BERNAMA


Kemaskini terakhir pada: 7 Februari 2020 | Hits: 12401

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 27/03/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.037 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my