TANGGAL 2 MAC 2020 BAKAL LAKAR SEJARAH POLITIK NEGARA
control 1control 2control 3

 

KUALA LUMPUR, 27 Februari -- Tanggal 2 Mac 2020 bakal melakar sejarah politik negara apabila Dewan Rakyat memainkan peranan penting sama ada memilih seorang Perdana Menteri baharu atau berdepan dengan pilihan raya umum mengejut bagi menyelesaikan kemelut arena politik semasa.
 

Pada hari tersebut, Sidang Khas Dewan Rakyat akan memilih Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, Isnin lalu, yang menyaksikan negarawan itu dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
 

Dr Mahathir  berkata selepas proses temu bual dengan semua Ahli Parlimen pada Selasa dan semalam, baginda tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri baharu yang kelapan.
 

Pada sidang media selepas membentang Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, di Putrajaya, hari ini, pemimpin berusia 94 tahun itu berkata Seri Paduka memberikan tanggungjawab kepada Dewan Rakyat untuk memilih Perdana Menteri baharu.
 

Seandainya gagal mendapatkan calon yang mendapat sokongan majoriti, maka Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum mengejut, katanya.
 

Terdahulu, Dr Mahathir telah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.
 

Susulan peletakan jawatan oleh Dr Mahathir dan penarikan diri parti yang dipimpinnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), daripada Pakatan Harapan (PH) menyebabkan kerajaan pimpinan pakatan itu kehilangan majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat.
 

Bersatu dengan 26 Ahli Parlimen dan 11 Ahli Parlimen daripada PKR, iaitu sekutu PH,  mengambil keputusan untuk keluar daripada pakatan tersebut.
 

Selepas melepaskan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, Isnin lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau kembali semula sebagai pengerusi parti itu, hari ini.
 

Ekoran pengumuman Bersatu telah keluar daripada PH, maka kedudukan kerajaan PH di negeri Johor turut terjejas dengan Istana Johor mengumumkan bahawa satu gabungan baharu telah diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri selepas ia mendapat sokongan majoriti daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding 26 ADUN yang memilih Pakatan Harapan (PH).
 

Dalam pada itu, gabungan PH di Melaka dan Kedah mengumumkan kekal dengan status quo sedia ada. -- BERNAMA

 

Kemaskini terakhir pada: 28 Februari 2020 | Hits: 19891

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 27/03/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.035 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my