KENYATAAN MEDIA YANG BERHORMAT TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESIHATAN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

     KENYATAAN MEDIA 
 

WAKTU BEKERJA KAKITANGAN KESIHATAN 42 JAM SEMINGGU PERLU DIKEKALKAN

OLEH

YANG BERHORMAT TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESIHATAN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15

 

 

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan telah menjalankan tiga sesi libat urus bersama Malaysian Medical Association (MMA), Malaysian Nurses Association (MNA) dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) pada 6, 13 dan 20 Februari 2025 bagi membincangkan beban kerja dalam kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di media oleh Delegasi Jururawat Malaysia (DJM) menunjukkan 95.5 peratus daripada 28,373 responden tidak bersetuju dengan cadangan penambahan waktu kerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu. Kakitangan KKM yang bekerja dalam sistem tiga syif menghadapi cabaran unik, antaranya hanya mendapat satu hari cuti seminggu, tiada elaun kerja malam, tiada waktu rehat khusus dan tiada hari cuti tetap. Tambahan tiga jam seminggu berpotensi meningkatkan tekanan kerja, keletihan fizikal dan mental, serta risiko kecuaian dalam tugas. Selain itu, ia mengurangkan masa bersama keluarga dan meningkatkan risiko kemalangan semasa perjalanan ke tempat kerja. Tambahan waktu ini juga bermakna kehilangan 12 jam sebulan, sekali gus menjejaskan keseimbangan kerja dan kehidupan kakitangan kesihatan.

 

Kekurangan doktor, pakar, jururawat dan penolong pegawai perubatan menambahkan beban tugas sedia ada. Sekiranya waktu kerja ditambah tanpa penyelesaian terhadap isu ini, lebih ramai tenaga kerja kesihatan dijangka berhijrah ke sektor swasta dan luar negara. Keadaan kerja yang semakin mencabar tanpa insentif setimpal boleh mengurangkan minat pelajar untuk menyertai bidang perubatan, seterusnya menyebabkan kekurangan tenaga profesional pada masa hadapan.

 

Perbandingan dengan penanda aras antarabangsa menunjukkan bahawa waktu bekerja sektor kesihatan yang dicadangkan adalah tidak wajar. Negara-negara maju seperti United Kingdom menetapkan 40 jam seminggu, Jepun pada 40 jam seminggu dan Australia pada 38 jam seminggu. Memandangkan Malaysia masih menghadapi isu kekurangan kakitangan kesihatan yang menyebabkan beban tugas lebih tinggi berbanding negara-negara tersebut, adalah tidak munasabah untuk menambah waktu bekerja melebihi penanda aras antarabangsa.

 

Secara umumnya, Jawatankuasa bersetuju dengan pandangan pelbagai pihak berkepentingan bahawa pada masa kini, beban kerja dalam kakitangan KKM adalah tinggi. Sehubungan itu, Jawatankuasa mencadangkan agar KKM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengekalkan waktu bekerja pada 42 jam seminggu seperti yang telah dilaksanakan selama ini. Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, fokus perlu diberikan kepada penambahan bilangan kakitangan kesihatan dengan segera untuk mengurangkan beban tugas sedia ada dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

 

24 FEBRUARI 2025


Kemaskini terakhir pada: 24 Februari 2025 | Hits: 6077

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 25/05/2026.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2026 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.030 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my