![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
TAN SRI JOHARI WAKILI ASEAN DI PERSIDANGAN SPEAKER SEDUNIA KE-6, TEGASKAN KOMITMEN TERHADAP KEAMANAN DAN KEADILAN DI PALESTIN
KUALA LUMPUR, 28 Julai – YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dijadualkan akan menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen Sedunia ke-6 (6th World Conference of Speakers of Parliament) yang akan berlangsung dari 28 hingga 31 Julai 2025 di Palais des Nations, Geneva.
Persidangan berimpak tinggi ini dianjurkan bersama oleh Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menghimpunkan lebih 110 Speaker Parlimen dari seluruh dunia. Kehadiran Tan Sri Johari, selaku Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), mencerminkan komitmen parlimen- parlimen ASEAN untuk memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama antara-parlimen, memelihara multilateralisme, memperjuangkan keselamatan kolektif, serta memartabatkan keterangkuman sejagat di tengah ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
Pada tahun ini, para pemimpin legislatif dijangka berinteraksi secara langsung dengan ketua-ketua organisasi antarabangsa, tokoh akademik, masyarakat sivil dan pihak media, menjadikan forum ini sebagai wadah strategik bagi menyelaras tindakan kolektif ke arah keamanan, keadilan dan kemakmuran sejagat.
Tan Sri Johari dijadual menyampaikan ucapan dalam sesi Debat Umum bertemakan “Dunia yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran untuk Semua” (“A World in Turmoil: Parliamentary Cooperation and Multilateralism for Peace, Justice and Prosperity for All”) pada 29 Julai 2025. Dalam ucapannya, beliau akan mengangkat suara Malaysia dalam memperjuangkan sistem antarabangsa yang berteraskan undang- undang, prinsip keadilan, serta institusi parlimen yang bebas dan berdaya tahan.
Beliau juga akan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penindasan berterusan ke atas rakyat Palestin di Gaza, dan menyeru agar parlimen-parlimen dunia tidak terus membisu apabila prinsip asas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa dilanggar.
Selain itu, Tan Sri Johari turut dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama beberapa pemimpin legislatif dunia, termasuk wakil dari Republik Islam Iran untuk membincangkan usaha menegakkan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan dan keselamatan.
Dialog antara-parlimen ini adalah platform penting untuk membina saluran komunikasi yang terbuka, ke arah penyelesaian yang damai berlandaskan Piagam PBB. Selaku Pengerusi AIPA, Parlimen Malaysia kekal konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap kedaulatan rakyat Palestin, dan akan terus membawa suara rantau ASEAN di peringkat antarabangsa sebagai blok yang mendukung keamanan dan dialog dan penyelesaian secara damai berlandaskan prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.
Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini sekali lagi menggariskan peranan institusi parlimen bukan sekadar sebagai badan penggubal undang-undang, malah sebagai entiti berpengaruh dalam menggalakkan dialog antara parlimen, serta menjana tindakan kolektif untuk membina dunia yang lebih aman, adil dan terangkum.
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
PARLIMEN MALAYSIA
Kemaskini terakhir pada: 31 Julai 2025 | Hits: 3995
www.parlimen.gov.my