![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
Kunjungan Hormat Yang Di-Pertua Dewan Negara Ke Doha Eratkan Hubungan Malaysia Qatar
DOHA, 28 JANUARI - YB Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah, Yang di- Pertua Dewan Negara mengetuai delegasi Parlimen Malaysia pada hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, TYT Sheikh Mohammad Bin Abdulrahman Bin Jassim Al Thani.
Pada pertemuan tersebut, Yang di-Pertua Dewan Negara telah menggariskan beberapa usaha bagi memajukan lagi hubungan dan kerjasama dengan Qatar, khasnya dalam memperkukuhkan lagi hubungan Parlimen antara kedua-dua negara. Ini termasuk menggiatkan lagi kerjasama antara Parlimen dalam pelbagai bidang, yang merangkumi pertukaran maklumat, amalan terbaik dan menyelaraskan pendirian bersama dalam isu-isu sejagat yang membawa kebaikan kepada rakyat di kedua-dua buah negara.
Beliau turut menzahirkan harapan agar hubungan baik yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Qatar terus dapat dipertingkatkan melalui ruang kerjasama ASEAN serta Majlis Kerjasama Negara-Negara Arab Teluk (AGCC) bersempena dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.
Dalam isu lain, Yang di-Pertua Dewan Negara turut menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan Qatar dalam rundingan yang membawa kepada gencatan senjata di Gaza, Palestine. Usaha ini adalah penting bagi mewujudkan kedamaian dan keamanan yang berterusan di Timur Tengah.
Untuk itu, kedua-dua Malaysia dan Qatar juga bersepakat untuk terus menyokong isu Palestin dan menyelaraskan pendirian bersama di pentas-pentas kerjasama Parlimen, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Di akhir perbincangan, Yang di-Pertua Dewan Negara telah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan dan Perdana Menteri Qatar di atas kesudian menerima kunjungan delegasi Dewan Negara Malaysia. Lawatan rasmi yang bermula dari 26 - 30 Januari ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara Parlimen Malaysia dan Qatar, seterusnya menyumbang kepada hubungan dua hala yang lebih mantap dan dinamik antara Kuala Lumpur dan Doha.
29 JANUARI 2025
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT PARLIMEN MALAYSIA
Kemaskini terakhir pada: 29 Januari 2025 | Hits: 5505
www.parlimen.gov.my