Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara Bersama Lembaga Tabung Haji
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

SIARAN MEDIA

OLEH

YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA

MESYUARAT AHLI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESEJAHTERAAN

RAKYAT DEWAN NEGARA BERSAMA LEMBAGA TABUNG HAJI

 

 

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim telah mempengerusikan Mesyuarat Bersama antara Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan Lembaga Tabung Haji (TH) pada hari ini. 

 Menurut Tan Sri Rais, mesyuarat tersebut diadakan atas rasa tanggungjawab Dewan Negara khasnya Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat terhadap aduan penipuan dalam talian (scam) yang dialami oleh masyarakat pada ketika ini khususnya yang berkaitan dengan Tabung Haji.

 Mesyuarat telah memutuskan perkara-perkara berikut:

 

  1. Mencadangkan agar tanggungjawab harus diambil oleh pihak bank yang menjadi perantara dalam urusan Tabung Haji kerana urusan pengeluaran wang simpanan menggunakan perbankan konvensional dan bukannya melalui Tabung Haji itu sendiri. Oleh itu, pihak bank yang bertanggungjawab wajib menentukan kaedah dan jumlah gantirugi sekiranya syarat-syarat pengawasan perakaunan bank tersebut telah dibolosi. 
  2. Memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun Tabung Haji adalah tertakluk kepada faktor kesiagaan bank berkenaan. Aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insuran perbankan itu sendiri. Oleh itu, isu kehilangan wang simpanan pendeposit di bank yang terbabit melalui aktiviti penipuan dalam talian didapati oleh jawatankuasa sebagai tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka.  
  3. Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat diminta untuk terus aktif menyusul perkara-perkara berkaitan dengan kepentingan rakyat khasnya berkenaan dengan simpanan rakyat di Tabung Haji.
  4. Mencadangkan agar pihak Lembaga Tabung Haji memberi peluang kepada pendeposit Tabung Haji untuk membuat pilihan sama ada urusan simpanan dan pengeluaran dibuat secara manual atau secara dalam talian. 
  5. Mencadangkan agar pihak media dan Lembaga Tabung Haji memperhebatkan lagi kempen kesedaran penipuan dalam talian kepada masyarakat. Kempen tersebut boleh dihebahkan menerusi media sosial, media cetak dan media penyiaran. 
  6. Menyarankan agar pihak Lembaga Tabung Haji dan bank perantara meningkatkan aspek keselamatan dari segi urusan perbankan dalam talian. Dicadangkan juga agar syarat-syarat pengeluaran wang secara dalam talian diperketatkan sama seperti agensi lain seperti yang dibuat oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam urusan jual beli Amanah Saham Bumiputera. 
  7. Memutuskan agar pihak bank perantara menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya yang berkaitan dengan Tabung Haji agar masalah rakyat tersebut dapat dipantau dari semasa ke semasa. 
  8. Memutuskan agar segala tindakan dan keputusan mesyuarat jawatankuasa ini diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang agar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya. 
  9. Mesyuarat telah menerima maklumat daripada Tabung Haji bahawa setakat ini jumlah kerugian angkara penipu dalam talian (scammers) yang melibatkan Tabung Haji berjumlah RM1,961,430.00 menerusi pelbagai institusi perbankan.

 

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Dato’ Sri Ambrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Operasi Haji Mohamed Ameen Abdul Wahab, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Haji Ahmad Shahriman Johari dan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Haji Affandi Abdullah.

Antara ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejateraan Rakyat yang turut hadir ialah pengerusinya Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato’ Sri Dr. Haji Mohamad Ali Haji Mohamad, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi, Senator Datuk

Paul Igai, Senator Dato’ Dr.  Ahmad Azam Hamzah, Senator Muhammad Zahid bin Md. Arip dan Senator Datuk Seri Hajah Zurainah Musa. - TAMAT

 

 

 

YB SENATOR TAN SRI DATO’ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM

Yang di-Pertua Dewan Negara

 

Tarikh:  25 Januari 2023


Kemaskini terakhir pada: 26 Januari 2023 | Hits: 1185

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 24/04/2024.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2024 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.034 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my