Latar Belakang

Jawatankuasa ini terdiri daripada seorang Pengerusi dan Naib-Pengerusi yang akan dilantik oleh Majlis. Tidak kurang daripada enam dan tidak lebih daripada dua belas orang ahli ini akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segera selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dilantik pada awal tiap-tiap Parlimen kerana memeriksa:

  • Kira-kira Kerajaan Malaysia dan peruntukan wang yang dibenarkan oleh Parlimen kerana menepati perbelanjaan negeri;
  • Apa-apa kira-kira badan-badan pentadbiran raya dan pertubuhan-pertubuhan lain yang menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam majlis;
  • Penyata-penyata Pemeriksa Kira-kira Negara yang dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat menurut perkara 107 dalam Perlembagaan;
  • Apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Jawatankuasa itu patut diperiksa, atau apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis kepada Jawatankuasa ini.

Semasa ketiadaan Pengerusi atau Naib-Pengerusi yang disebabkan oleh keuzuran atau lain-lain sebab, Jawatankuasa hendaklah memilih salah seorang daripada mereka untuk menjadi seorang pengerusi yang akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasan itu.

Seseorang ahli Majlis tidak boleh dilantik, memegang atau memangku jawatan Pengerusi atau Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara semasa dia menjadi seorang menteri.

Jawatankuasa ini berkuasa memanggil orang untuk hadir dihadapannya atau meminta mengeluarkan surat-surat, rekod-rekod dan mengeluarkan penyata kepada Majlis dari satu masa ke satu masa.