![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
KENYATAAN MEDIA
OLEH
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA
KUALA LUMPUR, 10 Mac 2022: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan lapan Tokoh Bahasa yang diinisiatifkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim di Parlimen Malaysia hari ini. Perjumpaan tersebut bagi membincangkan hala tuju dalam pemerkasaan Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Antara tokoh bahasa yang hadir adalah Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim sendiri serta Profesor Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Penasihat Dewan Bahasa dan Pustaka Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Ketua 1 GAPENA, Dato’ Zainal Abidin Borhan, Senator Datuk Ras Adiba binti Mohd Radzi, Senator Tuan Muhammad Zahid bin Md Arip, Dato’ Goh Hin San dan Dato’ M. Periasamy.
Dalam perjumpaan tersebut, perbincangan bersama Perdana Menteri menumpukan aspek Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomatik, Bahasa Ilmu dan Bahasa Perdagangan. Antara perkara yang diputuskan ialah Bahasa Melayu akan dijadikan sebagai bahasa diplomasi sekiranya negara menerima kunjungan daripada negara luar yang menggunakan bahasa ibundanya sebagai bahasa perantara. Begitu juga sekiranya para pemimpin menghadiri lawatan ke negara-negara yang menggunakan bahasa ibunda mereka ketika berkomunikasi, maka wakil daripada negara Malaysia boleh menggunakan Bahasa Melayu dengan menyediakan penterjemah. Cara ini sekaligus akan mengangkat martabat Bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa bertaraf rasional dan antarabangsa.
Seterusnya pihak kerajaan juga dimohon untuk memberikan kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka menegur sekiranya terdapat kesalahan berbahasa sama ada dari segi penggunaannya, loghat atau intonasinya. Selain itu, Perdana Menteri juga menyarankan agar usaha menterjemah buku-buku ilmiah ke dalam Bahasa Melayu dipergiatkan lagi dan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) diberi tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat tersebut.
Dalam perjumpaan satu jam itu, Perdana Menteri turut mengesyorkan agar Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang dianjurkan setiap tahun perlu diperluaskan lagi dan dijadikan sebagai usaha untuk menarik penglibatan lebih ramai masyarakat untuk menggunakan Bahasa Melayu. Berhubung dengan penggunaan istilah baharu, ditegaskan agar tidak sewenang-wenangnya dibawa masuk atau diterjemah secara harfiah. Ia perlu ditapis terlebih dahulu dalam proses penyediaan dan pembudayaan. Sebelum sesuatu istilah tersebut dijadikan rasmi, ia hendaklah memenuhi syarat-syarat asas dalam perbahasaan iaitu sekiranya tiada dalam kamus Bahasa Melayu, maka perlu dicari terlebih dahulu makna dalam Bahasa Melayu Aceh, Jawa, Bugis, Minangkabau dan sebagainya.
Dalam perjumpaan tersebut juga, ahli rombongan menyarankan agar para juruhebah radio dan televisyen perlu menjalani latihan berbahasa dengan betul bagi mengelakkan penggunaan “bahasa rojak” digunakan secara berleluasa. Dewan Bahasa dan Pustaka juga turut menyarankan agar Laporan Audit Bahasa di pelbagai institusi diterima oleh Perdana Menteri dan disyorkan dibawa ke kabinet untuk dijadikan sebagai petua dan panduan.
PARLIMEN MALAYSIA
10 Mac 2022
Kuala Lumpur
Kemaskini terakhir pada: 10 Mac 2022 | Hits: 1116