Kenyataan Media Syor-Syor Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Bagi Menangani Isu Kenaikan Harga Insurans Dan Takaful
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

        KENYATAAN MEDIA
 

SYOR-SYOR JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESIHATAN BAGI MENANGANI ISU KENAIKAN HARGA INSURANS DAN TAKAFUL

OLEH
YANG BERHORMAT TUAN SUHAIZAN BIN KAIAT PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS KESIHATAN DEWAN RAKYAT PARLIMEN KE-15

 

 

 

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan memandang serius isu kenaikan harga insurans dan takaful yang kini menjadi perhatian ramai, memandangkan ia memberi kesan langsung kepada rakyat untuk mendapatkan perlindungan kesihatan yang mencukupi. Situasi ini turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemampuan masyarakat untuk mengakses rawatan perubatan berkualiti pada kos yang berpatutan, sekali gus menimbulkan cabaran kepada sistem kesihatan negara untuk terus menyediakan perkhidmatan yang mampan dan menyeluruh. Oleh itu, JKPK Kesihatan meneruskan komitmen dan usaha untuk membantu Kerajaan dalam memperkukuhkan sistem kesihatan negara melalui sesi libat urus yang telah diadakan pada 10 Disember 2024 (Selasa). Sesi ini bertujuan membincangkan dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkenaan isu kenaikan harga insurans dan takaful bersama dengan lima pihak berkepentingan utama, iaitu:
 

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM);
  2. Bank Negara Malaysia (BNM);
  3. Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM);
  4. Persatuan Takaful Malaysia (MTA); dan
  5. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
 

Libat urus ini menumpukan kepada penambahbaikan struktur harga insurans dan takaful perubatan, dengan mengambil kira cabaran semasa seperti peningkatan kos rawatan, kesesuaian perlindungan yang ditawarkan dan keberkesanan polisi semasa. Menerusi sesi libat urus ini, JKPK Kesihatan mengemukakan enam syor bagi menangani isu kenaikan harga insurans dan takaful, iaitu:

 

    1. Kerajaan perlu meneliti semula dasar-dasar sedia ada dengan memperkenalkan pendekatan seperti pilihan bayaran co-payment. Melalui model ini, kos rawatan dapat dikongsi antara penanggung insurans dan pengendali takaful (insurers and takaful operators, ITO) dengan pemegang polisi dan peserta takaful. Pendekatan ini diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap kewangan dan memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan. Ini juga memberikan pilihan kepada pemegang polisi dan peserta takaful untuk menentukan tahap perkhidmatan yang sesuai dengan kemampuan mereka.
    2. Kerajaan perlu merangka mekanisme yang lebih menyeluruh untuk mengawal harga perkhidmatan kesihatan. Langkah ini bertujuan untuk memastikan struktur harga yang lebih telus dan adil, sekali gus mengelakkan beban kewangan yang tidak wajar kepada pesakit. Langkah kawal selia ini juga akan merangkumi pemantauan berterusan terhadap kos ubat-ubatan, rawatan dan prosedur perubatan.
    3. KKM perlu mempercepatkan pelaksanaan Diagnosis Related Groups (DRG) bagi mengklasifikasikan rawatan pesakit berdasarkan diagnosis dan prosedur yang diberikan, seterusnya membolehkan pengurusan kewangan dan pembayaran yang lebih efisien. DRG akan menjadi pemangkin kepada kecekapan sistem kesihatan negara serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan dana kesihatan.
    4. KKM perlu memperhebatkan usaha menjalin hubungan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan melalui inisiatif “Rakan KKM”. Program ini bertujuan menggalakkan penglibatan aktif sektor swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), komuniti dan individu dalam menyokong transformasi kesihatan negara. Pendekatan ini juga membuka ruang untuk inovasi dan sokongan yang lebih meluas dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
 
    1. KKM perlu mempercepatkan usaha untuk menubuhkan Dana Kesihatan Negara bagi memastikan pembiayaan kesihatan negara terjaga. Dana ini bertujuan menyediakan sumber kewangan yang mampan bagi memenuhi keperluan perubatan rakyat serta menampung peningkatan kos rawatan. Selain itu, dana ini mampu mengurangkan beban kewangan isi rumah, terutama dalam kalangan golongan rentan.
    2. Kerajaan perlu merancang pelaksanaan kenaikan harga secara berperingkat terhadap perkhidmatan kesihatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang semakin kompleks. Langkah ini termasuklah penambahan kapasiti hospital, peningkatan tenaga kerja kesihatan dan penyediaan infrastruktur serta teknologi perubatan yang lebih moden.

 

JKPK Kesihatan yakin bahawa syor-syor ini mampu menangani cabaran kesihatan semasa dan akan datang. Usaha ini bukan sekadar meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, tetapi juga menjadikannya lebih inklusif, mesra pengguna dan mampan. Dengan kerjasama pelbagai pihak, Malaysia berpotensi menjadi contoh negara dalam penyediaan perkhidmatan kesihatan komprehensif dan berpusatkan rakyat. Keutamaan ini adalah untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan mengukuhkan keupayaan sistem kesihatan menghadapi cabaran masa hadapan.

 

11 DISEMBER 2024


Kemaskini terakhir pada: 11 Disember 2024 | Hits: 4584

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 11/06/2026.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2026 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.031 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my