![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT TERIMA KUNJUNGAN HORMAT KETUA MAJLIS PERMESYUARATAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
KUALA LUMPUR, 21 Julai –Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, hari ini menerima kunjungan hormat daripada TYT Ahmad Muzani, Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat Republik Indonesia (MPR RI) di Parlimen Malaysia.
Pertemuan tersebut menandakan hubungan erat antara Parlimen Malaysia dan Indonesia yang terus kukuh dalam kerangka kerjasama serantau ASEAN. Kedua- dua pemimpin membincangkan usaha memperkasa diplomasi Parlimen sebagai wadah untuk mempererat hubungan rakyat dan memperkukuh kemakmuran serantau.
Tan Sri Johari turut menyampaikan harapan agar kedua-dua institusi Indonesia dan Malaysia dapat bekerjasama dalam membangun kepimpinan belia ASEAN, melalui platform seperti program pertukaran belia dan inisiatif kepimpinan rentas sempadan agar barisan kepimpinan muda ASEAN bersedia menghadapi cabaran global.
Selain itu, TYT Ahmad Muzani turut memberi perkembangan terkini mengenai pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan. Tan Sri Johari menyambut baik makluman tersebut dan menzahirkan keyakinan bahawa projek Nusantara akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi bukan sahaja untuk Indonesia, malah turut membuka ruang kerjasama baharu yang bermanfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
PARLIMEN MALAYSIA
7 JULAI 2025
Kemaskini terakhir pada: 21 Julai 2025 | Hits: 3809
www.parlimen.gov.my