Siaran Media Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Mulai Jelajah Asean Ke Parlimen Thailand Bincang Isu Strategik Rantau Asean, Persiapan AIPA
control 1control 2control 3
       
     PARLIMEN MALAYSIA
      KUALA LUMPUR
 

 

     SIARAN MEDIA  

YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT MULAI JELAJAH ASEAN KE PARLIMEN THAILAND BINCANG ISU STRATEGIK RANTAU ASEAN, PERSIAPAN AIPA


 

 

BANGKOK, 15 JANUARI—Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau, TYT Wan Muhamad Noor Matha, Presiden Perhimpunan Kebangsaan dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand bagi membincangkan pelbagai isu strategik rantau ASEAN. Pertemuan ini bertujuan memperkukuh kerjasama dan hubungan antara parlimen dalam menghadapi cabaran global.

 

Dalam pertemuan tersebut, Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut berkongsi tentang persiapan Parlimen Malaysia untuk mempengerusikan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) pada September ini, serta menjemput rakan sejawatnya untuk menghadiri persidangan tersebut sebagai platform penting merangka strategi bersama demi masa depan ASEAN yang mampan dan inklusif.

 

Pada hari yang sama, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul turut mengadakan pertemuan dengan TYT Mongkol Surajja, Presiden Senat Thailand. Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara institusi legislatif ASEAN, mempererat hubungan dua hala antara institusi legislatif Thailand dan Malaysia, serta menjemput para Senator Thailand untuk menyertai AIPA yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur.

 

Dalam kerangka lawatan rasmi ini, delegasi Malaysia telah mengunjungi bangunan parlimen Thailand yang dinamakan “Sappaya Saphasathan” yang mencerminkan tradisi seni bina Thailand yang unik dan dilengkapi dengan teknologi moden. Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga telah mengadakan lawatan untuk bertemu dengan Komuniti Kudi Chin yang mengamalkan keharmonian dan perpaduan antara agama di Thailand serta melawati komuniti pelbagai etnik dan agama di Masjid Bang Luang, Gereja Santa Cruz dan Kuil Kalayanamit Varamahavihara.

 

Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah berkesempatan untuk mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Bangkok untuk saling bertukar pandangan dan menyampaikan amanat kepada perantau tanah air agar terus meningkatkan produktiviti khususnya menjelang ASEAN yang akan dipimpin oleh Malaysia pada 2025.

 

Lawatan rasmi ini memperkukuh hubungan dua hala antara Parlimen Malaysia dan Thailand serta menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau dalam kerangka ASEAN. Parlimen Malaysia komited untuk terus memacu pembangunan yang mampan dan membawa ASEAN ke arah masa depan yang lebih progresif dan inklusif.

 

PARLIMEN MALAYSIA
15 JANUARI 2025

   


Kemaskini terakhir pada: 16 Januari 2025 | Hits: 3890

SPR Malaysia
HRMIS
MyGov
JPM
IIM
JAN
JAN
DBP
E-Vetting
myGov Mobile
eprolehan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Government Procurement Information System
Government Procurement Information System
Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa
Kemaskini Terakhir: 25/05/2026.
Paparan menarik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.
2026 © Hakcipta Terpelihara Parlimen Malaysia
Halaman dijana dalam 0.040 saat v5
WEB MOBILE
www.parlimen.gov.my