![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS SPEAKER THAILAND, PERKUKUH AGENDA AIPA 2025
BANGKOK, 2 JULAI— YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) 2025, hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Wan Muhamad Noor Matha, Presiden Perhimpunan Kebangsaan merangkap Speaker Dewan Perwakilan Thailand di Bangkok.
Kunjungan ini memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dalam diplomasi Parlimen ASEAN serta menandakan satu lagi langkah strategik ke arah ASEAN yang terangkum, berdaya tahan dan harmoni.
Dalam pertemuan itu, TYT Wan Muhamad Noor Matha menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi AIPA 2025, dan merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan penganjuran siri mesyuarat AIPA yang telah berlangsung, termasuk mesyuarat Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA) di Sarawak, mesyuarat Young Parliamentarians of AIPA (YPA) di Selangor, mesyuarat Bersemuka ASEAN–AIPA di Kuala Lumpur dan AIPA Advisory Council on Dangerous Drugs (AIPACODD) di Pahang.
TYT Wan Muhamad Noor Matha menzahirkan harapan agar Perhimpunan Agung AIPA bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh kerjasama legislatif serantau malah tampil sebagai peluang strategik memperdalam perbincangan terhadap isu-isu global yang semakin meruncing termasuk konflik Palestin dan ketegangan geopolitik di Iran.
Selain itu, Presiden Perhimpunan Kebangsaan Thailand turut menyatakan kesediaan untuk meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia–Thailand yang bakal disambut pada tahun 2027, serta berharap agar hubungan antara Parlimen kedua-dua negara dapat terus diperkukuh menjelang detik bersejarah tersebut. Beliau mencadangkan agar kerjasama dalam sektor pelancongan Malaysia–Thailand dipertingkatkan, di samping menyambut baik cadangan untuk menjemput semula Ahli- ahli Parlimen Malaysia ke Thailand sebagai langkah memperkukuh kefahaman rentas budaya dan membina asas kepimpinan serantau yang progresif.
Kemaskini terakhir pada: 3 Julai 2025 | Hits: 3942
www.parlimen.gov.my