![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
ULASAN YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT BERKENAAN TITAH DIRAJA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI- PERTUAN AGONG SEMPENA ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KELIMA BELAS
KUALA LUMPUR, 3 FEBRUARI 2025 – YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menyambut baik Titah Diraja yang telah disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ke-15 pada hari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat menegaskan bahawa titah Seri Paduka Baginda adalah satu peringatan yang amat bermakna kepada semua Ahli Parlimen agar terus mengamalkan budaya politik yang matang, beretika dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. “Sebagai institusi tertinggi demokrasi negara, Parlimen harus menjadi medan perbahasan yang sihat dan konstruktif, bukan medan pertelingkahan yang memecah-belahkan rakyat,” ujar beliau.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga menyambut baik titah Seri Paduka Baginda agar semua pihak menghentikan politik perpecahan dan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat. Beliau menekankan bahawa Parlimen harus menjadi platform demokrasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat.
Menyentuh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertua Dewan Rakyat menyeru agar Ahli Parlimen memainkan peranan aktif dalam diplomasi serantau bagi mengukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa. Beliau menyambut baik dukungan Seri Paduka Baginda terhadap kepengerusian Malaysia dalam Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan menegaskan bahawa peranan Malaysia adalah penting dalam memastikan hubungan antara Parlimen negara-negara ASEAN terus diperkukuh. “Sebagai Pengerusi AIPA, Parlimen Malaysia akan menerajui agenda kerjasama serantau yang lebih progresif dan memastikan suara Parlimen ASEAN terus relevan dalam menangani cabaran global,” ujarnya. Beliau turut menekankan bahawa diplomasi Parlimen harus digerakkan secara aktif untuk mengukuhkan hubungan serantau serta mempromosikan kestabilan, keamanan, dan kemakmuran ASEAN.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat juga menyeru semua Ahli Parlimen untuk menjadikan Titah Diraja sebagai pedoman dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti, amanah dan dedikasi demi kepentingan rakyat dan negara.
PEJABAT YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT
3 FEBRUARI 2025
Kemaskini terakhir pada: 3 Februari 2025 | Hits: 5321
www.parlimen.gov.my