![]() PARLIMEN MALAYSIA KUALA LUMPUR |
SIARAN MEDIA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERKENAN TERIMA MENGADAP YANG DI-PERTUA DEWAN RAKYAT DI ISTANA BRUNEI DARUSSALAM
Bandar Seri Begawan, 23 Januari– Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di- Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini di Istana Brunei Darussalam, sempena jelajah beliau ke negara- negara ASEAN yang telah bermula pada 15 Januari lalu di Thailand, Kemboja dan Singapura.
Inti pati perbincangan bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Brunei telah menyentuh isu kerjasama dua hala dalam pembangunan mampan dan perpaduan ASEAN menghadapi cabaran global.
Dalam kerangka lawatan rasmi ke Brunei juga, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan Di Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat. Semasa majlis mengadap tersebut, perbincangan menyentuh usahasama antara Brunei dan Malaysia untuk memacu inovasi digital serta pembangunan belia ASEAN.
Selain itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengundang rakan sejawat beliau, TYT Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam untuk menghadiri Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada tahun ini, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Pertemuan empat mata antara dua pemimpin legislatif itu memberi tumpuan untuk memperkukuh diplomasi parlimen dan meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara merangkumi isu-isu berkepentingan seperti kestabilan serantau, pengukuhan hubungan antara rakyat dan usaha untuk mencapai matlamat bersama ASEAN.
PARLIMEN MALAYSIA
23 JANUARI 2025
Kemaskini terakhir pada: 24 Januari 2025 | Hits: 4835
www.parlimen.gov.my