Kenali Pengerusi

Dato' Sri Hasan bin Arifin
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
Parlimen Ketiga Belas


 
Dato’ Sri Hasan bin Arifin, 62, yang dipilih menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen Malaysia pada 19 Oktober 2015 adalah Ahli Parlimen Rompin (P091) serta Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin berikutan kematian Tan Sri Jamaluddin Jarjis pada April 2015.
 
Beliau berlatarbelakang pendidikan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan pernah mengikuti kursus pengurusan di Asian Institute Of Management di Manila, Filipina. 
 
Dato’ Sri Hasan juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerajaan apabila dipilih sebagai Exco Kerajaan Negeri Pahang selama 11 tahun daripada tahun 1986-1995 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Pahang bermula daripada 1995-1999.
 
Anak kelahiran Rompin ini, mula dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rompin, Parlimen Pekan daripada 1982 hingga 1990 sebelum beralih ke kerusi DUN Bukit Ibam, Parlimen Pekan daripada tahun 1990 hingga 2004.
 
Ketika dalam pentadbiran kerajaan negeri Pahang, Dato’ Hasan bertanggungjawab membangunkan Kawasan Perindustrian Gebeng serta pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (Karak-Kuantan) dan membesarkan Pelabuhan Kuantan.
 
Dalam bidang korporat pula, beliau pernah dipilih menjadi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Perusahaan Pertanian (LKPP), Pengerusi Lembaga Pembangunan Kemajuan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) selain pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Felda dan Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad.
 
Di peringkat antarabangsa pula, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Eksekutif Pertubuhan Ahli-Ahli Parlimen Negara Komanwel daripada tahun 1995-2001 serta pernah beberapa kali menghadiri sidang Ahli Parlimen Negara Komanwel di Mauritius, New Zealand, United Kingdom, Singapura, Australia, Trinidad dan Tobago. Dalam bidang kemasyarakatan pula, sebagai Pengerusi PERKIM Pahang, Pengerusi Pertubuhan Anak-Anak Pahang Ibukota dan Pengerusi Sahabat Masjid Wilayah Persekutuan.
 
 
Kemaskini Terakhir pada: 13 Disember 2016  Spacer | Spacer Hits: 5879
 Spacer