KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PRESIDEN ILHAM HEYDAR OGLU ALIYEV, PRESIDEN REPUBLIK AZERBAIJAN OLEH YANG DI-PERTUA DEWAN NEGARA
29 April 2024, Baku, Azerbaijan – YB Senator Datuk Mutang Tagal, Yang di-Pertua Dewan Negara telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Ilham Aliyev, Presiden Republik Azerbaijan hari ini pada jam 2.00pm (waktu Malaysia). Kunjungan hormat ini turut disertai oleh TYT Ahmad Kamrizamil Mohd Riza, Duta Malaysia ke Azerbaijan, YB Senator Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara dan YB Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman.
- Di dalam pertemuan tersebut, Presiden Ilham Aliyev mengucapkan terima kasih kepada YB Senator Datuk Mutang Tagal yang telah mengetuai delegasi Malaysia di dalam “6th World Forum on Intercultural Dialogue”. Kunjungan dan penyertaan dalam forum ini menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam pengukuhan hubungan dua hala dengan Republik Azerbaijan. Semasa perbincangan, kedua-dua pihak telah menyatakan minat untuk memperluas dan memperdalam kerjasama dalam pelbagai bidang penting termasuk tenaga, ekonomi, dan hal ehwal luar negeri.
- Republik Azerbaijan juga tuan rumah bagi penganjuran “UN Climate Change Conference (UNFCCC COP 29)” telah menjemput Malaysia untuk menghadiri persidangan tersebut. Di dalam pertemuan ini Presiden Ilham Aliyev dan delegasi Malaysia telah bersetuju agar negara-negara yang sehaluan (“like minded countries”) seperti Azerbaijan dan Malaysia membincangkan agenda bersama yang bersesuaian sebelum persidangan COP29 itu bermula bagi memastikan suara dan kepentingan negara-negara ini didengari dalam perbincangan global tersebut.
- Selain itu, Presiden Ilham Aliyev telah menyuarakan tentang kepentingan soladariti negara Islam dan beliau turut berharap agar aktiviti ekonomi antara Malaysia dan Republik Azerbaijan ditingkatkan bagi memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara. Ini akan membuka lebih banyak peluang bagi syarikat-syarikat dari kedua-dua negara untuk berkolaborasi dan memanfaatkan potensi ekonomi.